KERAJAAN PERSEKUTUAN KUMPUL HASIL RM220.63 BILION TAHUN LEPAS


KUALA LUMPUR:  Kerajaan Persekutuan mengutip hasil berjumlah RM220.63 bilion pada 2014, meningkat RM7.256 bilion atau 3.4 peratus berbanding RM213.370 bilion tahun sebelumnya.

Hasil cukai dan terimaan bukan hasil menunjukkan peningkatan manakala hasil bukan cukai dan hasil Wilayah Persekutuan menunjukkan penurunan, demikian menurut Ketua Audit Negara.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar mengenai laporan Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Tahun 2014 serta Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen di sini hari ini.

Peningkatan hasil sebahagian besarnya disumbangkan oleh cukai pendapatan individu dan syarikat, hasil lesen, bayaran pendaftaran dan permit, duti eksais  terhadap barangan import dan cukai jualan atas barang-barang perkilangan dalam negeri.

Perkembangan ekonomi domestik yang stabil serta aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menyumbang kepada peningkatan hasil, katanya.

Bagaimanapun, kutipan cukai pendapatan petroleum serta faedah dan perolehan daripada pelaburan menunjukkan pengurangan berbanding 2013 disebabkan penurunan harga petroleum mentah dan terimaan dividen yang lebih rendah  daripada syarikat Kerajaan.

Pada keseluruhannya, Jabatan Audit Negara mendapati tahap prestasi pengurusan kewangan agensi bagi 2014 masih baik, dengan 172 kementerian/Jabatan/Agensi yang mendapat penarafan empat bintang (sangat baik) berbanding 194 pada 2013 dan 143 pada 2012.

Sementara itu, sebanyak 69 pengauditan prestasi dan 16 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan Negeri, merangkumi bidang program, pembinaan, penyenggaraan, perolehan, pengurusan hasil dan pengurusan syarikat.

Kandungan Laporan Ketua Audit Negara ini serta sinopsisnya boleh  dilayari di http://www.audit.gov.my sementara satu sesi townhall bersama media mengenainya akan diadakan pada 2 Dis, 2015 di Auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam, Kompleks C, Putrajaya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts