Followers

MALAYSIA KOMITED PASTIKAN DALANG TEMBAK JATUH MH17 DIBAWA KE MUKA PENGADILAN


KUALA LUMPUR:  Malaysia sekali lagi menyatakan komitmen untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 dibawa ke muka pengadilan.


Menurut kenyataan Kementerian Luar, perkara itu dinyatakan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Australia pada Isnin.

Mesyuarat dengan rakan sejawatnya Julie Bishop itu diadakan di Commonwealth Parliamentary Offices di Melbourne, Australia sempena lawatan Anifah ke negara itu pada 1 hingga 4 Nov.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua menteri luar itu membincangkan isu yang melibatkan kedua-dua negara seperti kumpulan militan I.S, migrasi tidak sah dan pesawat MH17 serta isu-isu lain serta kerjasama antara Malaysia dan Australia  pada masa akan datang.

Pesawat MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Sebanyak 298 mangsa terkorban dalam tragedi itu, termasuk 43 rakyat Malaysia.

Menurut kenyataan itu, tujuan utama mesyuarat itu diadakan bagi bertukar-tukar pandangan dalam isu berkepentingan yang melibatkan kedua-dua negara.


"Semasa mesyuarat tersebut, kedua-dua Menteri Luar berkongsi pendapat bagi pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia termasuk lawatan Perdana Menteri Australia yang baharu Malcolm Turnbull semasa Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang dihoskan Malaysia dan dipengerusikan  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada November 2015," menurut kenyataan itu- BERNAMA

No comments:

Post a Comment