KERAJAAN BERPEGANG KEPADA PRINSIP KEBEBASAN BERAGAMA: NAJIB


KOTA KINABALU:  Kebebasan beragama di negara ini adalah selaras dengan prinsip agama Islam di mana tidak wujud unsur paksaan.


Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan Barisan Nasional (BN) berpegang teguh kepada prinsip ini.

Katanya, sekiranya berlaku paksaan maka pihak yang terlibat harus membuat aduan dan ianya tidak menggambarkan pendekatan serta dasar kerajaan.

"Kita dari segi kerajaan, kita pegang pada prinsip dalam Islam tidak ada paksaan. Dalam Islam, ada ayat bermaksud tiada paksaan jika seseorang hendak memeluk Islam

"Kita berpegang pada prinsip ini. Kalau ada berlaku (paksaan), buat aduan kepada ketua menteri kepada kita semua," kata Najib pada ucapan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di sini hari ini.

Tegas beliau, jika ianya tetap berlaku, ia bukanlah dasar kerajaan tetapi sebaliknya datang dari individu-individu tertentu.

Beliau menjawab aduan daripada Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup yang meminta pihak kerajaan agar campur tangan dalam soal kebebasan hak beragama di negeri Sabah.

Dalam pada itu Najib turut menekankan bahawa kerajaan BN akan tetap memperjuangkan nasib penduduk kawasan luar bandar dan ia dibuktikan dalam pembentangan bajet 2016.

"Tan Sri Joseph Kurup adalah antara menteri dalam kabinet yang selalu mengingatkan saya dan anggota kabinet bahawa kekuatan kita ialah di luar bandar, dan sebab itulah kita perlu memastikan pembangunan luar bandar harus diberi keutamaan tinggi.

"Kita mesti pastikan setiap kelompok yang berada di luar bandar merasai bahawa kerajaan Barisan Nasional memberi perhatian berat kepada kesejahteraan mereka dan sebab itulah dalam Bajet 2016, saya telah masukkan penekanan kepada pembangunan luar bandar," katanya lagi.

Najib yang dalam rangka lawatan ke Sabah, tiba di Kota Kinabalu pada Sabtu dan turut merasmikan bendera serta logo baru parti PBRS.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts