NURUL IZZAH HARUS LEBIH SENSITIF BERKAITA KEDAULATAN NEGARA: ZAHID


PUTRAJAYA:  Tindakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertemu anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III amat tidak dialu-alukan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya meraikan perbezaan pendapat, namun, tindakan tersebut seolah-olah mencabar kedaulatan negara.

Jelas Zahid, sebagai ahli politik, Nurul Izzah seharusnya bersikap lebih sensitif dengan hal kedaulatan negara.

"Jika mana-mana ahli politik bertemu dengan pihak yang menjadi dalang kepada pencerobohan negara, maka secara tak langsung wujud pengiktirafan daripada individu berkenaan terhadap penceroboh kedaulatan negara.

"Justeru itu, kerajaan berpendapat pertemuan itu amat tidak dialu-alukan malah ia seolah mencabar serta meletakkan orang Sabah sebagai mangsa kepada perbuatan yang dilakukan keluarga Kesultanan Sulu," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Bercakap mengenai jenis tindakan, Zahid memberitahu pihaknya akan merujuk Jabatan Peguam Negara serta merujuk Yang Dipertua Dewan Rakyat berkaitan tatacara tindakan yang boleh diambil terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel itu turut dipersoal beberapa ahli politik negara termasuk daripada
pembangkang.

Sebahagian daripada mereka membidas perbuatan itu kerana ia melukai perasaan penduduk Sabah terutamanya di Lahad Datu yang menerima kesan buruk insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina pada 2013, berikutan arahan Jamalul Kiram III.

Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Japiril Suhaimin juga meminta kerajaan negeri Sabah mengharamkan kemasukan Nurul Izzah ke Sabah berikutan tersebarnya gambar beliau bersama JAcel itu.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts