Followers

OBAMA LUANGKAN MASA BERSAMA KANAK-KANAK KURANG BERNASIB BAIK


KUALA LUMPUR:  Sekumpulan kanak-kanak dalam bilik darjah di Dignity For Children Foundation mungkin tidak sedar bahawa antara tetamu bersama mereka merupakan seorang insan paling berkuasa di planet ini.

"Helo semua...Apa khabar anda semua?," Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memberi salam kepada kanak-kanak berusia tujuh dan sembilan tahun ketika memasuki bilik darjah itu pada pukul 11.10 pagi ini.

Mengabaikan protokol, bapa kepada dua anak itu, membongkok untuk bercakap dengan kanak-kanak di yayasan itu yang merupakan sebuah institusi pendidikan amal bagi mangsa pelarian dan kanak-kanak miskin di bandar di Sentul di sini.

Obama berinteraksi dengan kanak-kanak itu termasuk dari Myanmar, yang ketika itu sibuk menyiapkan projek seni dan sains, dengan bertanya mereka mengenai subjek kegemaran dan cita-cita mereka serta memberikan kata-kata peransang.

Obama tiba di ibu negara semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketiga ASEAN-Amerika Syarikat serta Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-10 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bermula lebih 15 tahun lepas, yayasan tersebut ditubuhkan oleh Rev.Elisha Satvinder dan dan isterinya, Petrina.

Pasangan suami isteri itu memulakan kerja-kerja amal selepas mendapati banyak keluarga yang kurang bernasib baik tinggal di persekitaran kawasan Sentul.

Yayasan itu mempunyai matlamat untuk memperkasakan kanak-kanak daripada keluarga seperti itu supaya memecahkan kitaran kemiskinan menerusi pendidikan berkualiti, mengubah kehidupan mereka serta komuniti di sekeliling mereka.

Hari ini, yayasan itu merupakan sebuah pusat pembelajaran yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 kanak-kanak berusia antara dua dan 17 tahun dengan menyediakan pendidikan berkualiti dalam persekitaran yang selamat.

Ketika ditemui pemberita, Rev.Elisha, yang terharu dengan kunjungan presiden Amerika Syarikat itu, berkata Obama telah memuji usahanya dalam mendidik dan memperkasa golongan kanak-kanak kurang bernasib baik.

"Presiden itu berkata beliau bangga dengan apa yang kami lakukan di sini. Beliau turut bertanya mengenai cabaran yang kami hadapi. Perbualan kami amat positif dan menggalakan," katanya selepas kunjungan lebih sejam itu.

Ditanya apa yang mengerak hatinya untuk menubuhkan yayasan itu, Rev.Elisha berkata ia adalah seperti seruan Tuhan untuk beliau menjaga kanak-kanak yang tidak terbela nasib mereka.

Di samping mendidik kanak-kanak itu, katanya, mereka turut menubuhkan sebuah kafe moden yang dikenali sebagai Projek B dengan kerjasama rakan-rakan, bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik berusia 12 tahun ke atas.

Diuruskan sepenuhnya oleh pelajar yang lebih tua, katanya kafe tersebut bertujuan melengkapkan mereka dengan pengalaman bekerja dan kemahiran bagi membolehkaN mereka akhirnya keluar daripada belenggu kemiskinan.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment