JAMIL KHIR NAFI LAPORAN DUA PEGAWAI KANAN YAPEIM DIARAH BERCUTI


KUALA LUMPUR:  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan laporan portal media tempatan mengenai dua pegawai Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang diarahkan bercuti.

"Keputusan tidak ada lagi. Berita itu tidak benar," demikian jawapan ringkas Jamil.

Mengenai dakwaan 3,000 penyumbang dana YaPEIM yang menarik diri berikutan beberapa isu berkaitan YaPEIM, Jamil turut enggan mengulas lanjut.

Penarikan diri penyumbang dana YaPEIM difahamkan berpunca daripada pendedahan Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Nasional (NOW) baru-baru ini.

Ketua Pengarah NOW, Akmal Nasir dilaporkan mendakwa Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) telah menggunakan RM290,000 untuk membiayai dua program kursus kahwin di Paris, Perancis melalui dana Yayasan Pembangunan Anak Yatim dan Miskim (PEMANGKIN).

Jamil berkata, kenyataannya berhubung isu-isu lain yang mempunyai kaitan dengan YaPEIM termasuk pendedahan yang dilakukan NOW juga akan dijawab di mahkamah.

"Saya akan menjawab di mahkamah. Saya tidak mahu nanti (kenyataan) bercampur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Fiqh Zakat 2015 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Jamil berkata,  satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk melihat kepada aspek tadbir urus yang baik buat YaPEIM.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts