Followers

TIADA LAGI KATEGORI 'LAIN-LAIN' UNTUK ETNIK SABAH


KOTA KINABALU:  Kabinet bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Teknikal Minoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak untuk mengklasifikasikan semula Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam ruang bangsa pada borang rasmi kerajaan.


Cadangan itu dibuat jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Jawatankuasa Teknikal itu bermatlamat menyelesaikan perasaan tidak gembira dalam kalangan masyarakat Bumiputera dalam kedua-dua negeri itu yang merasa terpinggir apabila dilabelkan sebagai "lain-lain" dalam borang rasmi kerajaan.

"Anak Negeri Sabah juga mahu diklasifikasikan secara berasingan daripada lain-lain Bumiputera kerana bangsa mereka didefinasikan secara berasingan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri.  Untuk kumpulan etnik Sabah, tiada lagi kategori 'lain-lain'," kata Ongkili dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata kabinet dalam mesyuarat pada Jumaat telah bersetuju supaya Bumiputera Sabah dan Sarawak diklasifikasikan seperti berikut:

a.    Sabah
i.  Anak Negeri Sabah : …………… (untuk diisi oleh pemohon)
ii.   Bumiputera Sabah  : ……………… (untuk diisi oleh pemohon), dan
iii.  Bukan Bumiputera

b.    Sarawak
i.    Dayak: ……………(untuk diisi oleh pemohon) dan
ii.   Lain-lain: …………………(untuk diisi oleh pemohon)

Bagaimanapun, kabinet meminta kerajaan negeri Sabah untuk menyenaraikan siapa yang dikategorikan sebagai "Anak Negeri" dan "Bumiputera Sabah".  Senarai itu perlu diwartakan sebelum pengklasifikasian semula ini dikuatkuasakan dalam borang rasmi kerajaan.

"Kabinet memerlukan kerajaan negeri untuk menyenaraikan bangsa yang dikategorikan sebagai anak negeri Sabah dan Bumiputera Sabah dan mewartakannya sebelum perkara ini dikuatkuasakan.

"Ini bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak lain yang mungkin mendakwa mereka anak negeri atau Bumiputera Sabah. Kabinet akan menunggu untuk perkara itu diwartakan sebelum borang baharu digunakan," katanya.

Ongkili juga berkata sebelum cadangan dibuat oleh jawatankuasa teknikal, pihaknya telah merujuk perkara itu kepada persatuan kebudayaan anak negeri di Sabah, terutamanya Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA).

Wakil kerajaan negeri Sabah daripada Jabatan Peguam Besar Negeri dan Jabatan Ketua Menteri Sabah juga terlibat dalam perundingan itu yang dikendalikan oleh jawatankuasa teknikal dan bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan.

Sementara itu, untuk Sarawak kabinet bersetuju supaya perkataan "Dayak" akan digunakan bagi menunjukkan bangsa Bumiputera yang bukan Melayu dalam borang rasmi sebagaimana yang dipersetujui oleh kerajaan negeri.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment