KERAJAAN AKAN PERTINGKATKAN SARINGAN KEMASUKAN PELARIAN : KDN


KUALA LUMPUR:  Kerajaan akan mempertingkat saringan kemasukan pelarian terutama dari Timur Tengah ke negara ini susulan kejadian serangan di Paris, Perancis pada Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi memastikan negara ini tidak terdedah dengan sebarang unsur keganasan.

"Inilah risiko yang kita perlu ambil apabila kita terima pelarian daripada Timur Tengah, jadi kita akan tapis dahulu dan lihat latar belakang mereka.

"Melihat kepada kejadian yang berlaku di Paris, kita perlu lakukan (tapisan) itu apabila ada khabar angin kata berpunca daripada pelarian yang diterima," katanya pada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, Nur Jazlan berkata, kerajaan akan tetap mengotakan janji untuk menerima 3,000 pelarian Syria bagi meringankan krisis pelarian yang berlaku.

"Ya, kita masih pegang janji kita, kita tidak kata semua pelarian itu pengganas. Tetapi kita perlu adakan tapisan itu untuk keselamatan negara," katanya.

Semalan, Nur Jazlan mengakui terdapat usaha pihak IS untuk merekrut pensyarah di negara ini untuk menjadi anggota kumpulan militan itu.

Beliau berkata, kumpulan militan itu kini menjadikan negara seperti Malaysia dan Indonesia sebagai pusat merekrut pensyarah yang mahir dalam persenjataan dan letupan.

"Mereka (IS) beranggapan yang pergerakan mereka kurang dikesan jika menggunakan pensyarah dari dua negara ini namun, agensi keselamatan negara seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya mengekang aktiviti mereka ini," katanya memetik laporan Bernama semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar tempatan pada Sabtu yang menyatakan adanya rancangan pembentukan satu kumpulan militan IS Asia Tenggara yang diketuai oleh bekas pensyarah Malaysia Dr Mahmud Ahmad.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts