SAYA SEDIA UNDUR DIRI JIKA DEBAT 1MDB ARUL-TONY TIDAK IKUT SYARAT: PANDIKAR


KUALA LUMPUR:  Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua perlu melepaskan jawatan beliau sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jika mahu berdebat dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.


Perkara tersebut diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang berpandangan bahawa penyiasatan PAC yang merupakan jawatankuasa di bawah Parlimen mestilah telus.

Selain itu, Pandikar berkata Arul Kanda juga perlu dilucutkan sebagai saksi dalam siasatan PAC jika ingin meneruskan debat tersebut.

Justeru katanya, jika debat itu diteruskan tanpa mematuhi syarat yang dinyatakan beliau, maka beliau sedia meletakkan jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat.

"Kenapa harus terburu-buru (hendak mengadakan debat)? Adakah perbahasan itu akan dapat keputusan tuntas?

"Tidak bukan. Jadi kenapa harus terburu-buru... tetapi kalau Kerajaan mahu teruskan perdebatan, saya tidak mahu terlibat (dalam isu ini), saya sedia mengundur diri," katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Pandikar juga mengemukakan syarat kepada saksi penyiasatan 1MDB, Arul Kanda bahawa beliau tidak lagi boleh terlibat dalam mana-mana bahagian siasatan dan prosiding PAC bagi mengekalkan ketelusan siasatan seleras dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jelas Pandikar, beliau hanya menjalankan tugas sebagai Speaker di mana menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan setiap ahli Dewan Rakyat mengikuti peraturan mesyuarat.

"Tanggungjawab Yang Berhormat adalah untuk debat isu yang penting, (berkaitan) rakyat jika dibenarkan oleh peraturan mesyuarat. Tanggungjawab badan eksekutif adalah mentadbir.

"Saya terpaksa menjalankan tugas sebagai speaker, saya tidak boleh benarkan debat isu 1MDB antara Tony dan Arul kerana PAC sedang menyiasat," katanya.

Menurut Pandikar, debat antara Pua dan Arul itu bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 85 dan 23.

Peraturan Mesyuarat 85 memperuntukkan keterangan yang diambil dihadapan sesebuah jawatankuasa pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa-siapa ahli jawatankuasa itu atau oleh siapa-siapa jua sebelum jawatankuasa itu membuat penyata itu kepada majlis.

Tambah Pandikar, apa-apa pendedahan, keterangan atau perkara yang dikemukakan kepada jawatankuasa juga adalah tertakluk kepada syarat yang diperuntukkan kepada Peraturan Mesyuarat 23 iaitu tiada ahli atau pegawai majlis dan tiada juru tringkas yang digunakan khidmat untuk mencatat minit keterangan dihadapan majlis atau mana-mana jawatankuasa boleh memberi keterangan di tempat lain.

Debat atau bual bicara secara siaran langsung di televisyen di antara Pua dan Arul Kanda juga dilihat mendapat 'lampu hijau' kerajaan apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak memaklumkan bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah pun menyatakan kesediaan untuk menyiarkan debat itu secara langsung.

Terbaru, Salleh memberitahu bahawa RTM mencadangkan agar debat 1MDB Arul-Tony Pua diadakan pada jam 9 hingga 10 malam Jumaat ini, iaiatu 6 Nov 2015 di Studio 1 tanpa penonton.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan debat ini sebagai peluang untuk menyerlahkan keberanian dan kejantanan masing-masing bagi mencari kebenaran berhubung isu menyelubungi syarikat pembangunan strategik itu.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts