Followers

ISU KEGANASAN ANTARA FOKUS UTAMA G20 SUSULAN INSIDEN PARIS: NAJIB


ANTALYA:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata isu keganasan dan ekstremisme ganas akan menjadi satu daripada fokus utama Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) berikutan serangan di Paris pada Jumaat malam.

Beliau berkata perkara itu dinyatakan oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dalam pertemuan dua hala mereka di sini pada Sabtu.

Najib, selaku pengerusi ASEAN, melakukan kunjungan hormat ke atas Erdogan, yang akan mempengerusikan Sidang Kemuncak G20 Ke-10 di Antalya dari 15 hingga 16 November.

Erdogan menyatakan perbincangan itu akan berkisar kepada soal keganasan dan bagaimana dunia boleh meningkatkan lagi kerjasama untuk menangani isu yang amat serius itu, katanya pada sidang berita di Pusat Media Antarabangsa (IMC) di Hotel Kaya Palazzo di sini, Jumaat.

Susulan kejadian keganasan di Paris yang mengakibatkan lebih 100 orang terbunuh, Najib berkata beliau menyatakan pendirian Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Perancis dan negara-negara lain bagi menghadapi ancaman serius itu.

"Pendirian Malaysia adalah jelas, untuk mengutuk sebarang bentuk keganasan lebih-lebih lagi terhadap orang awam yang tidak berdosa dan tidak bersalah," kata beliau.

Perdana Menteri berkata Malaysia dan negara-negara lain bukan sahaja mengutuk perbuatan itu malah, mengambil tindakan berpatutan untuk membanteras, mencegah dan mengelak kejadian seperti itu daripada berterusan.

"Saya menghantar surat takziah kepada Presiden Francois Hollande atas kejadian menyayat hati itu dan menyatakan pendirian Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Perancis dan negara lain bagi menghadapi ancaman yang begitu serius," katanya.

Najib berkata Turki juga menghadapi ancaman keganasan seperti kejadian bom di Ankara yang mengorbankan lebih 100 orang baru-baru ini selain masalah di bahagian barat daya negara itu.

Turki turut menghadapi masalah pelarian kerana terpaksa menampung penghijrahan 2.5 juta orang pelarian dari Syria dan Iraq, katanya.

"Mereka (Turki) belanja agak besar tetapi mereka hanya terima AS$400 juta dari negara-negara lain.

"Dengan perbelanjaan mereka yang melebihi RM8 bilion ini, mereka merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk membantu keperluan menyara kos menempatkan pelarian dari kedua-dua negara itu di Turki," kata Najib.
-BERNAMA

No comments:

Post a Comment