NAJIB JELASKAN PROSES DOMESTIK MENGENAI TPP KEPADA OBAMA


KUALA LUMPUR:  Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah diberikan pemahaman mengenai proses domestik Malaysia untuk meluluskan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau menerangkan proses itu kepada Obama ketika mesyuarat dua hala selama 45 minit di sini, malam tadi.

Beliau memberitahu Obama yang kajian analisis faedah kos mengenai TPPA akan dikemukakan kepada kabinet minggu depan dan dibentangkan ketika sesi khas Parlimen pada Januari.

"Diharapkan dengan sokongan dan kelulusan Parlimen, TPPA akan disahkan dalam tempoh dua tahun.

"Kami percaya ia akan meningkatkan perdagangan, pelaburan dan inovasi," kata Najib pada sidang akhbar bersama selepas mesyuarat dua hala berkenaan.

Obama berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Najib mengenai kemajuan yang dicapai TPPA setakat ini.

Beliau juga mengakui yang Malaysia telah melaksanakan pelbagai pembaharuan sebagaimana digariskan dalam perjanjian berkenaan.

Malaysia dan 11 negara lain, iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam telah berjaya memuktamadkan rundingan TPPA itu pada 5 Oktober 2015.- BERNAMA

Comments

Popular Posts