Followers

'ROKOK ELEKTRIK, ROKOK BIASA SAMA SAHAJA BAHAYANYA': TUN MAHATHIR


PUTRAJAYA:  Penggunaan vape atau rokok elektronik sama sahaja bahayanya dengan rokok malah lebih memudaratkan  kerana kepekatan nikotin dalam cecair vape lebih tinggi berbanding rokok biasa.

Menurut bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun begitu ramai yang kini beralih kepada vape hanya kerana tarikannya yang mempunyai pelbagai perisa.

Dalam nada menyindir, Dr Mahathir berkata kepelbagaian perisa yang ditawarkan itu merupakan cara pemasaran yang berjaya menarik ramai menggunakan vape.

"Percayalah, vape lebih bahaya malah lebih memudaratkan daripada menghisap rokok. Anda akan mendapat nikotin dalam bentuk pati dengan bau harum dan menarik serta rasa yang sedap.

"Itu cara pemasaran mereka," kata Dr Mahathir yang ditemui di Persidangan Persekutuan Antarabangsa Pertubuhan Bukan Kerajaan Bagi Pencegahan Dadah Dan Penyalahgunaan Bahan Larangan (IFNGO).

Persidangan tersebut berlangsung di Putrajaya selama tiga hari mulai Isnin.

Dalam ucaptamanya, Dr Mahathir yang juga penaung IFNGO turut menyeru agar pendidikan mengenai bahaya dadah perlu bermula dari kecil untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai perkara tersebut.

Tambah beliau, pendekatan lebih berkesan perlu diguna pakai untuk menyampaikan maklumat kepada generasi muda bahawa dadah boleh digunakan sebagai ubat tetapi harus mengelak daripada menggunakannya lebih daripada fungsi tersebut.

"Ibu bapa harus memberitahu (generasi muda) bahawa dadah akan memendekkan hayat mereka selain memupuk ajaran positif untuk membenci dadah. Jika mereka dibesarkan dengan mematuhi nilai tersebut, mereka sendiri akan melawan godaan untuk menyalahgunakan dadah.

Persidangan IFNGO itu turut disertai 500 peserta dari 23 negara termasuk Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland dan Hong Kong.- ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment