PAS TIDAK AKAN TUNDUK KEPADA DESAKAN PEMIMPIN DAP SELANGOR: ISKANDAR


SHAH ALAM:  PAS Selangor pada Isnin menegaskan bahawa ia tidak akan tunduk kepada desakan seorang pemimpin DAP Selangor yang mahukan wakil-wakil daripada parti itu dipecat daripada pentadbiran negeri Selangor.


Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad semasa memberi penegasan itu, berkata parti itu tetap akan kekal pada 'status quo' dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka juga meminta DAP menghentikan ugutan politik terutama berkaitan PAS kerana ia hanya akan menjadikan rakyat semakin jemu.

Katanya kemenangan pakatan pembangkang di Selangor pada pilihan raya umum lepas adalah atas dasar bersama ketiga-tiga parti DAP-PAS-PKR.

"PAS sekarang masih berada dalam kerajaan negeri dan tugas kami adalah menjalankan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada pentadbiran yang sedang memberikan lebih fokus kepada bajet yang dibentangkan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Beliau diminta mengulas satu laporan yang memetik Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong sebagai mencadangkan supaya kepimpinan tertinggi DAP meminta Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali segera memecat wakil PAS dalam pentadbiran negeri.


Chiong yang dilaporkan membuat kenyataan itu semasa Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2015 di Petaling Jaya semalam telah menganggap PAS memungkiri janji dalam Pakatan Harapan, iaitu pakatan pembangkang yang baharu.

Laporan itu memetik Chiong sebagai berkata bahawa jika Mohamed Azmin masih gagal memecat wakil PAS dalam kerajaan pimpinannya, DAP dicadang supaya keluar daripada pentadiran kerajaan negeri Selangor.

Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan berkata PKR telah memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk PAS di Selangor dan tidak memerlukan pembentukan Pakatan Harapan di negeri itu seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang kerana senario politik di kedua-dua negeri itu berbeza.

Usaha mendapatkan komen Mohamed Azmin gagal.

Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim turut bercanggah pendirian dengan Chiong dan menganggap desakan supaya PAS keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri Selangor akan hanya merugikan DAP dan PAS.

"Tidak wajar DAP keluar dari kerajaan negeri kerana ia tidak akan memanfaatkan DAP kerana kekosongan yang ditinggalkan oleh DAP akan diisi oleh PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan PAS ... begitu juga sekiranya PAS keluar (dari kerajaan negeri) kekosongan akan diisi PKR dan DAP," katanya kepada pemberita di sini.- BERNAMA

Comments

Popular Posts