GERBANG TORANA LAMBANG PERSAHABATAN KUKUH MALAYSIA-INDIA


BRICKFIELDS:  Perdana Menteri India, Narendra Modi hari ini melancarkan Gerbang Torana bersama-sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Little India, Brickfields.

Struktur ikonik yang terletak di tengah-tengah Brickfields menjadi lambang persahabatan kukuh antara kerajaan India dan Malaysia.

"Gerbang Torana merupakan satu batu penanda kepada hubungan kami. Ia bukan sesuatu hasil ukiran atas batu semata-mata malah lebih menekankan kepelbagaian adat dan tradisi kedua-dua negara," kata Modi dalam ucapan pembukaannya di majlis pelancaran Gerbang Torana itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Najib berkata Gerbang Torana itu mencerminkan hubungan yang lama terjalin antara Malaysia dan India.

"Torana Gate menandakan satu lagi titik yang tinggi dalam sejarah hubungan baik antara Malaysia dan India. Ia menandakan kerjasama yang lebih erat dan satu dimensi baru kepada penglibatan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara," kata Najib.

Kedua-dua pemimpin tersebut juga melahirkan harapan bahawa Gerbang Torana itu akan menjadi tarikan pelancong terutamanya dari India .

Modi berkata jika sebelum ini Little India terkenal dengan makanannya yang lazat dan kini ia akan menjadi lebih terkenal dengan simbol ikonik ini.

Najib pula berkata Malaysia telah menerima jumlah pelancong yang tinggi daripada India dan Malaysia bersedia menerima lebeih ramai lagi pelancong India.

Tetuan Aksaya Jain & Associates yang dilantik kerajaan India telah bertanggungjawab menyediakan rekabentuk Gerbang Torana di Brickfields yang serupa dengan reka bentuk "Great Stupa" di Sanchi, India.

Gerbang ini mempunyai struktur ketinggian hampir 10 meter dengan blok-blok ukiran sandstone yang dibuat sepenuhnya di India dan dihantar ke Malaysia secara blok-blok berkenaan mempamerkan perhiasan yang bercorak bunga-bungaan dan geometri.

Selain daripada ukiran sandstone, pembinaan gerbang ini menggunakan juga kepingan granit, bollard ukiran 'solid stone' serta 'carved low fence wall'.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts