PELUANG UMNO CARI TITIK PERSEFAHAMAN DENGAN PAS : MUKHRIZ MAHATHIR


YAN:  Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) dipelopori beberapa bekas pemimpin PAS secara tidak langsung telah mewujudkan peluang kepada UMNO untuk mencari titik persefahaman dengan PAS, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.


Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu berkata, tindakan pemimpin PAS "melompat" ke Amanah merupakan peluang kepada UMNO untuk menghidupkan semula usaha mencari titik persefahaman dengan PAS.

"Saya selalu sebut bahawa antara UMNO dengan PAS ini begitu banyak sekali persamaan berbanding dengan perbezaan, (tetapi) malangnya, biasalah manusia yang perbezaan itulah kita ungkit, tetapi persamaan yang begitu banyak itu kita tidak sebut," katanya kepada pemberita selepas melawat daerah Yan hari ini.

Peluang untuk melihat kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu katanya, wujud selepas "unsur-unsur" yang tidak bersetuju terhadap permuafakatan antara UMNO-PAS telah menyertai Amanah.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali semalam mencadangkan penubuhan Majlis Ukhuwah Islamiah Negara (MUIN) dianggotai UMNO dan PAS selain pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam.

Mukhriz berkata, usaha untuk mewujudkan kerjasama di antara UMNO dan PAS telah berjalan sejak sekian lama, tetapi tergendala atas sebab-sebab tertentu.

"Jadi di pihak kami terbuka (terhadap cadangan Ibrahim Ali itu)," katanya.

Berhubung kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini tentang tujuh pemimpin parti sedang disiasat kerana membuat kenyataan secara terbuka, beliau berkata UMNO merupakan sebuah parti yang terbuka dalam menerima teguran.

Semua pihak, katanya, perlu memahami teguran dan kritikan terhadap parti bertujuan untuk memperkuatkannya dan bukan merupakan satu tindakan pengkhianatan terhadap UMNO.

"Ia bukan satu unsur pengkhianatan terhadap parti, jadi ia amat penting untuk kita fahami. Kadang-kadang kita mengkritik atas niat untuk memperkukuhkan, hendak menguatkan parti," katanya.- BERNAMA

Comments

  1. Mungkin inilah hikmahnya segala kemelut dlmn UMNO dan PAS, membuka jalan kesatuan UMNO dan PAS, serta penyokong masing masing demi kemaslahatan umat Islam M'sia seluruhnya.
    WaAllahu'alam.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts