ROSNAH : TIDAK SALAH GUNA PAU SEBAGAI MEMPERTAHANKAN KUASA

NYATAAN MEDIA YB DATUK ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN MENGENAI KENYATAAN ANWAR IBRAHIM BAHAWA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO DIGUNAKAN UNTUK MEMPERTAHANKAN KUASA DAN KENYATAAN HAJI HADI BAHAWA UMNO KEHABISAN MODAL BILA PRESIDEN ASYIK MENGHENTAM RAKYAT.  

Pada pendapat saya tidak salah UMNO menggunakan Perhimpunan Agung UMNO bagi mengekalkan kedudukan kuasa kerana niat serta tujuan Perhimpunan Agung UMNO adalah untuk memastikan kesinambungan kesemua ahli agar UMNO serta Barisan Nasional dapat terus berkhidmat untuk rakyat dan demi kepentingan rakyat.   Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Haji Hadi jelas menunjukkan kehebatan Perhimpunan Agung UMNO dan bagaimana mereka yang kehilangan modal untuk mengkritik UMNO serta  risau dan gentar dengan kesan Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlangsung terhadap rakyat.  

'Prinsip' adalah kunci utama kekuatan UMNO. Kita lihat hari ini bagaimana parti yang menggadaikan prinsip dan parti yang tidak ada prinsip, terhoyong-hayang diheret orang. Itulah PAS yang melelong Negara Islam dan juga PKR yang lahir dari penjara. Kedua-dua parti itu kini semakin bingung disergah dan diarah-arah oleh DAP.    

Akibat prinsip yang caca-marba, bertukar-tukar dan tidak masuk akal, maka perjuangan pakatan mereka menjadi tidak tentu arah. Sekejap berhimpun memperjuangkan pilihanraya bersih, sekejap memperjuangkan alam sekitar, kemudian hudud, kesamarataan total dan macam-macam lagi.   Pendek kata, asal ada ruang, mereka pasti akan 'berjuang' tetapi berjuang untuk apa, itu belakang kira. Akhirnya, perjuangan mereka diterjemahkan dalam sepasang perkataan iaitu 'BN K.O'.     Maka jelaslah sudah, bahawa apa yang mereka perjuangkan bukanlah prinsip, bukanlah demi kepentingan rakyat, tetapi kuasa.  

Saya percaya bahawa rakyat bijak menilai erti perjuangan pihak pembangkang yang tidak mempunyai prinsip yang tetap serta tepat jika dibandingkan dengan prinsip dan erti perjuangan UMNO serta Barisan Nasional yang sememangnya tetap dan tepat demi perjuangan membela rakyat.

YB Rosnah Abdul Rashid Shirlin
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia

Comments

Popular Posts