SUDAH WUJUD RANCANGAN GULINGKAN KARPAL : K.YOGASIGAMANY
Dalam sidang media tersebut beliau mendedahkan tindakan seorang pemimpin DAP Selangor, secara sulit telah bertemu dengan perwakilan dari DAP Klang dalam meminta sokongan dari Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam usaha menyingkirkan nama Karpal daripada pemilihan pucuk pimpinan CEC.
Beliau yang tidak mahu menamakan individu tersebut turut mendakwa anak kepada Karpal, Gobind Singh Deo akan dilobi dan dikempen untuk membolot jawatan penting dalam parti itu.
"Ada pemimpin DAP Selangor telah bertemu perwakilan dari DAP Klang dan meminta sokongan dari Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan dirinya sendiri (pemimpin wanita DAP) yang mengiktiraf dirinya sebagai pemimpin tetapi tidak menamakan Karpal.
"Ada ura-ura mahu Karpal digantikan dengan anaknya Gobind," katanya pada sidang media di Restoran Magic 1, di sini hari ini.
Yogasigamany, bekas Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi penggal Julai 2010 hingga Febuari 2012, sebelum ini pernah mendedahkan wujudnya campurtangan pemimpin tertentu dalam DAP dalam perlantikan Ahli Majlis MBSA bagi penggal 2012-2013 oleh DAP Selangor sehingga menyebabkan beliau dan beberapa nama lain yang dicalonkan tersingkir dan digantikan dengan pihak lain pada saat akhir.
Ditanya wartawan adakah pemimpin yang menyebabkan beliau tersingkir dari dicalonkan sebagai ahli MBSA bagi penggal baru juga merupakan individu yang sama mahu menyingkirkan Karpal daripada pemilihan pucuk pimpinan CEC, beliau tidak mahu memberikan sebarang komen dan jawapan.
Beliau yang kecewa dengan tindakan permainan politik kotor pemimpin ini, turut mendakwa penyebab utama Karpal perlu disingkirkan daripada pemilihan pucuk pimpinan CEC adalah disebabkan kelantangan Pengerusi DAP itu yang mengketengahkan usul satu kerusi satu calon bagi pilihanraya umum akan datang.
"Karpal adalah pemimpin paling lantang dan seorang yang berpegang kepada prinsip dan tidak pernah berubah sejak dahulu sehingga kini.
"Kita mempunyai ramai pemimpin berkaliber pada masa ini. Namun tindakan segelintir pemimpin parti yang tamak haloba dan ingin memonopoli kesemua kedudukan dan jawatan untuk diri mereka sendiri telah merosakkan nama parti," katanya.
Pengerusi DAP Taman Chi Liung Indah ini turut melahirkan kegusaran dengan masa depan parti akibat sifat tamak haloba segelintir pemimpin yang menolak suara pilihan rakyat dalam polisi satu kerusi satu calon ini.
"Kajiselidik online baru-baru ini jelas menunjukkan 80 peratus bersetuju dan menyokong polisi satu kerusi satu calon ini."
"Persoalan disini, mengapa pemimpin parti masih berterusan membicarakan isu ini? Hakikatnya ialah mengapa DAP sendiri tidak mahu mengikut suara rakyat?" katanya dalam nada kecewa.
Beliau juga berkata apa yang berlaku adalah bertitik-tolak dari beberapa perkara yang masih berterusan berlaku seperti monopoli kerusi dan jawatan dalam kerajaan negeri.
"Ini yang mengakibatkan ramai ahli bersikap mengelakkan diri dari sebarang aktiviti melibatkan parti. Apa yang akan terjadi kepada Pakatan Rakyat jika calon yang memegang dua kerusi ini memutuskan untuk keluar dari parti dan melakukan sabotaj."
"Lihatlah apa yang terjadi dengan bilangan ketidakhadiran ahli-ahli sewaktu Konvensyen DAP Selangor baru-baru ini," katanya.
Sebelum itu, Karpal mengakui wujudnya rancangan untuk menyingkirkan beliau daripada pemilihan pucuk pimpinan CEC.
"Saya juga mengetahui rancangan untuk menggulingkan saya."
"Tetapi saya tidak takut, saya telah membuktikan diri saya dan rekod saya bercakap untuk dirinya sendiri," kata beliau lagi.
"Selain itu, konvensyen itu tidak membuat keputusan parti. Keputusan hanya dibuat oleh jawatankuasa eksekutif pusat (CEC). Konvensyen ini adalah semata-mata mengenai siapa yang mendapat dipilih ke CEC,'' katanya.
Ditanya dakwaan 'keluarga dinasti' dalam DAP yang akan dibangkitkan pada konvensyen kali ini, Karpal hanya ketawa.
Sumber: KLPos dot com
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Comments
Post a Comment