TAWARAN MEGA PAKATAN RAKYAT KEPADA RAKYAT DAN ADAKAH TAWARAN TERSEBUT MAMPU MENGGUGAT KEYAKINAN RAKYAT KEPADA BARISAN NASIONAL? : ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN

Manifesto bukanlah satu perjanjian, demikian kata-kata keramat keluar dari mulut Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim pada 29 Ogos 2012 yang lepas ketika mengulas tuntutan rakyat Selangor yang mahu tunggakan air percuma berjumlah RM300 juta dilangsaikan oleh Kerajaan PKR Selangor.

Maksud pemimpin PR itu ialah apa sahaja yang termaktub dalam manifesto yang dicanangkan oleh PR bukanlah satu bentuk perjanjian yang wajib dipenuhi sebaliknya ia hanya satu umpan politik semata-mata untuk mengaburi mata pengundi. Jika sekalipun ia sebenarnya adalah satu janji, namun ia sekadar untuk ditaburi, boleh sahaja bila-bila masa diingkari dan bukannya satu kemestian untuk dipatuhi.

Mungkin menyedari sebahagian besar rakyat masih mengingati kata-kata keramat pemimpin PKR itulah perkataan MANIFESTO dan JANJI digantikan dengan perkataan TAWARAN MEGA. Antara kandungan tawaran mega peringkat pusat itu termasuklah melibatkan penempatan generasi kedua Felda, pembayaran royalti 20% dan isu prasarana kemudahan perhubungan. Diikuti enam tawaran peringkat negeri membabitkan penyediaan lot rumah dan penstrukturan kampung baru, permohonan tanah, isu tanah Orang Asli, penurunan cukai pintu dan sistem tender terbuka.

Sama ada ia satu manifesto, janji politik ataupun tawaran mega itu dan ini, maksudnya tetap sama, bunyinya saja berlainan. Hakikatnya reputasi Anwar dan pemimpin PR dalam bab menabur janji sana sini sudah terkenal.

Di Selangor, Kedah, Pulau Pinang mahupun Kelantan sehingga kini tiada satupun pendidikan percuma hatta untuk anak-anak yang bersekolah di tadika pun masih perlu membayar yuran bulanan dan yuran pendaftaran tahunan.

IPT kelolaan Kerajaan PKR Selangor yang hanya dua buah itu pun tak termampu untuk diberi pendidikan percuma malah Kedah yang memiliki sebuah IPT pun tak tertanggung yuran pengajiannya oleh Kerajaan PAS Kedah, namun Pakatan Rakyat masih ada hati lagi nak memberikan janji baru.

Ibu tunggal yang dijanjikan elaun bulanan sampai sekarang tertanya-tanya dimana perginya janji yang ditaburi. Gaji minima RM1100 yang diwawarkan sampai sekarang tak terlaksana di Selangor, Kedah, Penang mahupun Kelantan.

Ini semua realiti dan hakiki bila kita membicarakan janji Pakatan Rakyat. Bagi mereka segala janji manis sama ada yang termaktub dalam manifesto, pengisytiharan di pentas politik mahupun janji yang ditaburi di media-media, semuanya sekadar untuk mengaburi mata khalayak sahaja. Saya percaya bahawa tawaran Pakatan Rakyat ini tidak akan mampu menggugat keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional kerana sudah jelas terbukti bahawa Barisan Nasional mengamalkan prinsip janji ditepati berlainan dengan Pakatan Rakyat yang mengamalkan janji manismu sahaja.

YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
Ketua Puteri UMNO Malaysia
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia
Ahli Parlimen P.175 Papar

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Comments

Popular Posts