DUA SETIAUSAHA AGUNG PARTI POLITIK JADI TUMPUAN DI PULAU PINANG
Tekad menebus maruah... Najib Tun Razak bersama pemimpin Barisan Nasional Pulau PInang ketika menghadiri majlis pelancaran 345 jentera pilihan raya pusat daerah mengundi (PDM) seluruh Pulau Pinang di Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal semalam. Turut kelihatan Teng Chang Yeow (kanan) yang dilantik sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang - BERNAMA
AKHIRNYA teka-teki mengenai siapa yang akan mengetuai kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 di Pulau Pinang terjawab. Tugas itu kini terletak kepada Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow. Beliau menggantikan Presiden Gerakan, Dr. Koh Tsu Koon. Pada November lalu, Tsu Koon yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan secara tidak langsung tidak akan mengekalkan jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang. Sepanjang 'ketiadaan' Tsu Koon, Dr. Teng Hock Nan yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN Pulau Pinang. Kata orang junior Teng ganti senior Teng. Lebih daripada itu, dua setiausaha agung akan menjadi tumpuan di pulau itu iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri (KM) dan Chang Yeow. Apa pun tidak timbul lagi persoalan siapa yang akan mengemudi jentera BN.
Sebelum ini timbul desas-desus mengenai kemungkinan UMNO akan mengambil alih jawatan itu. Jelaslah UMNO tetap berpegang kepada semangat setiakawan yang tinggi. Sebelum ini UMNO menegaskan tidak akan mengambil jawatan KM jika BN memenangi PRU. Dan semalam, sekali lagi UMNO membuktikan parti tunggal dalam BN yang memenangi kerusi pada PRU lalu di Pulau Pinang tidak kemaruk kuasa seperti yang cuba digembar-gembur oleh pihak lawan.Kini tanggungjawab Chang Yeow amat besar dan sukar. Tidak seperti Tsu Koon, bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu menerima tanggungjawab setelah BN kecundang pada PRU 2008. Tsu Koon pada 1990 menerima tanggungjawab sebagai KM dan kemudiannya Pengerusi BN setelah BN memenangi PRU tetapi pada masa yang sama menyaksikan kekalahan penyandang jawatan ketika itu, Dr. Lim Chong Eu.
Dalam tempoh PRU yang dikatakan semakin hampir, Chang Yeow bersama rakan-rakan dalam UMNO dan MIC perlu bekerja keras. Beliau pastinya akan dibantu oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Zainal Abidin Osman, Hock Nan dan Pengerusi MCA Pulau Pinang, Dr Ng Yen Yen. MIC pula baru kehilangan pengerusinya,P.K Subbaiyah. Presiden MIC, G. Palanivel perlu mencari segera pengganti Subbaiyah supaya kerja keras mendiang yang berjuang untuk parti sehingga ke akhir hayat tidak terhenti begitu sahaja. Sama ada UMNO, MCA, Gerakan dan MIC, mereka perlu bergerak seiring bagi menebus maruah BN.
Chang Yeow bukanlah orang baru dalam politik Pulau Pinang. Seperti yang diselak dalam ruangan ini pada 9 April lalu, beliau salah seorang calon KM jika BN menang pada PRU 2008. Selain beliau, turut dicadangkan ialah Chia Kwang Chye yang ketika itu sebagai Setiausaha Agung Gerakan serta seorang lagi Exco kerajaan negeri, Hock Nan. Bagaimanapun Kwang Chye bertanding di kawasan Parlimen Bukit Bendera untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya selepas mengalahkan Kit Siang manakala Tsu Koon bertanding di kawasan baru, Parlimen Batu Kawan. Tinggallah Hock Nan dan Chang Yeow bertanding untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pulau Tikus dan Padang Kota. Bagaimanapun semua calon Gerakan itu tewas. Maka terhenti seketika isu siapa KM dari Gerakan.
Dan menjelang PRU akan datang, isu siapa KM timbul kembali kerana BN perlu pemimpin yang ditunjukkan untuk mengetuai jentera BN pada kali ini selepas Tsu Koon berundur.
Pastinya Gerakan sudah membuat pelbagai penyelidikan sebelum mencadangkan Chang Yeow mengetuai jentera BN.
Menyelak kembali perjalanan politik Chang Yeow, beliau sudah bertanding dalam empat PRU bermula pada tahun 1995. Pada ketika itu, beliau diberi tanggungjawab untuk merampas kembali DUN Padang Kota yang dimenangi Kit Siang selepas mengalahkan Chong Eu. Jika tidak silap, ketika itu Chang Yeow ialah Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang. Pada PRU tersebut, beliau mencabar orang kuat DAP iaitu Karpal Singh berikutan Kit Siang melakukan penghijrahan ke Tanjong Bunga untuk berdepan Tsu Koon. Matlamat DAP pada ketika itu sudah tentulah mahu mencipta rekod menumbangkan seorang lagi KM di Pulau Pinang. DAP mahu mencatat sejarah menamatkan 'riwayat politik' seorang lagi KM yang baru sepenggal mentadbir negeri. Bagaimanapun Kit Siang kecundang manakala Chang Yeow berjaya mengalahkan Karpal dengan majoriti 2,560 undi. Pada 1999, Chang Yeow terus mempertahankan kerusi Padang Kota selepas mengalahkan seorang anak muda dari DAP, Chow Kon Yeow (CKY). Kali ini, beliau menang dengan majoriti 1,640 undi. Pada 2004, pertembungan berulang lagi antara dua anak muda ini TCY dan CKY. Kesudahannya Gerakan mengekalkan kerusi Padang Kota dengan majoriti 2,254 undi. Bagaimanapun 'tsunami' politik yang melanda pada 2008 menyaksikan pertembungan ulangan antara kedua-dua ahli politik Gerakan dan DAP itu berkesudahan Kon Yeow menang dengan majoriti 1,661 undi.
Mungkinkah kali ini pertembungan yang sama bakal berulang? Ini sesuatu yang menarik untuk melihat pertembungan kali keempat melibatkan dua pemimpin itu.
Dan lebih menarik, sekali lagi Pulau Pinang akan menjadi medan pertembungan dua setiausaha agung parti politik iaitu Chang Yeow dan Guan Eng. Apakah BN khususnya Gerakan akan bangkit semula?
Sumber: utusanonline
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Comments
Post a Comment