#UMNO2015: APA MESEJ PRESIDEN UMNO?

UCAPAN Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 pada Khamis adalah ucapan dasarnya yang ketujuh sebagai presiden parti itu. Ucapannya ― pada kali ini ― sangat dinanti-nantikan dan mendapat perhatian yang luar biasa bukan saja dalam kalangan ahli parti tetapi juga mereka yang di luar parti kerana isu-isu genting yang sedang dihadapi oleh UMNO dan kerajaan pimpinannya sejak kebelakangan ini.

Najib sedar suasana yang menyelubungi perhimpunan tahunan itu kali ini, cukup sedar. UMNO sedang berdepan dengan krisis keyakinan bukan saja dalam kalangan rakyat tetapi ahli-ahli UMNO sendiri pun tertanya-tanya apa sedang jadi dengan kepimpinan parti.

Ada pergeseran pendapat yang cukup serius antara pimpinan tertinggi UMNO. Najib dan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sebulu dalam beberapa hal khususnya hal-hal yang berkait dengan pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli-ahli UMNO di peringkat bahagian dan cawangan juga tidak senada seirama dalam isu yang sama. Pemimpin UMNO termasuk mereka yang ada di akar umbi dari hari ke hari lantang mendesak supaya Najib berundur.

Dalam persekitaran itulah Najib menyampaikan ucapan dasarnya. Ucapannya berlapis dan berkias tetapi pada bahagian-bahagian tertentu, mesejnya cukup jelas. Najib mengaku sedar akan cabaran dan tantangan yang sedang beliau hadapi terutamanya mengukuhkan semula parti yang sedang berpecah.

Pada masa sama, Najib menegaskan bahawa beliau tidak akan berundur daripada amanah dan mandat yang telah digalas pada bahunya untuk memimpin UMNO dan menerajui kerajaan selagi cabaran dan tantangan itu tidak beliau atasi.

"Saya tidak boleh jadi seorang pengecut," katanya.

KESETIAAN

Cabaran dan tantangan yang paling utama ialah mengembalikan UMNO sebagai sebuah jemaah yang bersatu. Najib berkali-kali mengingatkan tentang pentingnya kesetiaan kepada pemimpin dan parti. Beliau memetik pesan-pesan agama daripada Al-Quran dan mengingatkan tamsil daripada Sejarah Melayu.

Beliau mengacung buku perlembagaan UMNO dan mengingatkan ahli-ahli parti ― termasuk timbalan presiden dan naib-naib presiden ― supaya berpegang kepada buku merah itu. Beliau mengingatkan jasa-jasa UMNO membangunkan bangsa dan negara ― maka katanya, jangan khianat kepada parti yang sudah banyak berjasa itu. Beliau mengingatkan tentang disiplin parti ― tentang sempadan dan batasan yang perlu dipatuhi oleh ahli-ahli UMNO.

Mesej Najib satu ― wajib taat kepada pemimpin. Titik.

Dari satu sisi, ucapan dasar presiden UMNO itu adalah suara hati Najib yang sedang diasak dari dalam dan luar partinya sendiri. Pada bahagian-bahagian tertentu, ucapan itu terdengar sangat peribadi.

Najib mengimbau sejarah perjalanan politiknya ― bagaimana beliau memilih untuk setia kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa bekas Presiden UMNO itu berdepan dengan krisis parti pada 1987. Najib mengingatkan ahli-ahli UMNO betapa beliau tidak pernah khianat kepada parti dan lebih kurang tiga bulan menjelang genap 40 tahun bergiat dalam UMNO, beliau tidak pernah keluar meninggalkan parti.

"Saya lahir dari leluhur UMNO… mana mungkin bersurut pulang atau sesekali berbalik haluan," katanya.

DILEMA NAJIB

Najib juga mendedahkan dilema yang beliau hadapi dalam membuat keputusan besar ― sebagai Perdana Menteri dan presiden parti.

Najib merujuk secara khusus kepada rombakan kabinet yang menggugurkan Muhyiddin daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Rombakan itu juga menggugurkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal daripada jawatan menteri.

"Kalau atas dasar sahabat, tidak mungkin saya mengambil keputusan yang luka lagi melukai," kata Najib.
Beliau menegaskan bagaimana keputusan itu dibuat "atas nama survival dan kepentingan parti" dan beliau melakukannya "dengan berat hati".

Sebelum menutup ucapannya, Najib menyentuh tentang perpaduan ummah ― antara UMNO dan PAS. Tetapi beliau cepat mengingatkan bahawa perpaduan dalam UMNO itu lebih utama dan mustahak. UMNO perlu memulihkan kesatuannya terlebih dahulu sebelum melangkah jauh untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu.

Sehingga petang Sabtu ini, sebelum Najib sekali lagi mengambil tempat di rostrum untuk menyampaikan ucapan penggulungan sekaligus menutup perhimpunan tahunan ini, orang akan memberikan perhatian pula kepada perbahasan di Dewan Merdeka ― melihat sejauh mana mesej presiden ini dihayati.

Tetapi lebih jauh daripada itu, selepas perhimpunan ini berakhir, bagaimanakah UMNO akan menyusun gerak ke arah menyatukan parti.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts