#PAU2015: NAJIB INGATKAN TUGAS ORANG NOMBOR DUA
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung UMNO mengingatkan semua ahli UMNO mengenai tugas dan peranan masing-masing yang berlandaskan perlembagaan parti.
Kata Najib, Timbalan Presiden perlu membantu tugasnya sebagai Presiden dan perlu tahu menggunakan saluran yang betul sekiranya ingin menyuarakan pendapat.
"Berbalik kepada situasi semasa UMNO, dimaktubkan dalam perlembagaan parti, amanah besar dan tanggungjawab yang terpikul di bahu seorang Presiden, melalui fasal 9.8.1, adalah menjadi pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti."
"Manakala, fasal 9.8.2, dengan terang secara harfiahnya, memperincikan tanggungjawab dan amanah utama, bagi seorang Timbalan Presiden itu, fasalnya itu menyebut, 'Timbalan Presiden membantu tugas Presiden'," kata Najib.
Bagaimanapun, ucapan Najib ketika menghuraikan tugas serta peranan Timbalan Presiden dan Naib Presiden disambut sorakan oleh para perwakilan.
Ketika ucapan itu disampaikan, Muhyiddin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal turut berada di dalam Dewan Merdeka bersama lebih 2,000 perwakilan dari 191 bahagian UMNO seluruh negara.
"Manakala, bagi fasal 9.8.3 pula, tanggungjawab dan amanah Naib Presiden itu dinyatakan sebagai 'Naib-naib Presiden itu kerjanya membantu tugas Presiden'.," ujar Najib sambil disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan.
Tambahnya, itu merupakan rahsia dan formula UMNO yang bertahan sebagai tunjang pemerintah sejak dahulu sehingga kini.- ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment