LAPAN IMIGRAN SYRIA SELAMAT TIBA DI MALAYSIA


SEPANG:  Lapan imigran Syria dari dua keluarga selamat tiba di Malaysia pada 4.50 petang Selasa menerusi penerbangan Turkish Airlines.


Mereka adalah antara individu yang mendapatkan perlindungan di Malaysia di bawah inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri pada Oktober lalu.

Ketibaan mereka disambut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bercakap kepada media, Nur Jazlan memberitahu mereka ini merupakan kumpulan pertama dalam usaha Malaysia memberi bantuan kemanusiaan kepada 3,000 rakyat Syria.

"Dalam membantu menyelaras usaha memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria, kerajaan sudah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas diketuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa kementerian berkaitan.

"Jadi kerajaan sedang menimbang untuk memproses pelarian Syria yang lain termasuk menerima permohonan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan memohon bantuan daripada Kementerian Luar Negeri terutamanya di Jordan untuk mengenalpasti mana-mana rakyat Syria yang berminat untuk datang ke Malaysia bagi mendapatkan perlindungan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bahawa Malaysia akan membuka pintunya kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.

Tambahnya, KDN memberi keutamaan kepada permohonan individu yang sudah menetap di Malaysia serta bantuan daripada NGO Malaysia sebelum menerima apa-apa permohonan.

Perdana Menteri berkata, negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir melarikan diri dari negara mereka dengan jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts