Followers

UMNO JOHOR TERUS MEMBINA PARTI, BUKAN MERUNTUHKAN: KHALED NORDIN


KUALA LUMPUR:  Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan perhubungan Johor akan terus membina parti itu, bukan meruntuhkannya.

Menurut beliau, UMNO Johor sentiasa mendukung gerakan yang progresif dan sederhana.

"Kita telah lama memainkan peranan membina dan mengukuhkan parti melalui pemikiran dan manhaj yang berkemajuan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Mohamed Khaled, yang juga Menteri Besar Johor, mengajak semua pihak untuk mencari jalan muafakat untuk UMNO yang lebih baik dan berpadu, kembali kepada agenda Melayu.

Beliau berkata parti bangsa Melayu itu mesti terus menjadi instrumen paling penting untuk memajukan bangsa, sekaligus terus meneroka denai penyelesaian yang inklusif dan terbaik kepada segala kemelut.

"Utarakan segala pandangan dengan cara paling sopan tetapi tegas. Luahkan segala yang terbuku dengan adab paling terpuji.

"Parti mesti dipastikan jadi lebih kuat dan kembali diyakini. Tak perlu berpecah. Tak perlu menimbulkan pergeseran yang memusnahkan," katanya lagi.

"Sesungguhnya setiap perhimpunan adalah peluang kita untuk mencari pencerahan bagi UMNO," katanya, sambil menyeru perwakilan agar mengutamakan disiplin dan mempamerkan tata susila yang disenangi.

Beliau juga mengingatkan agar jangan sesekali melakukan tindakan yang mengikut emosi yang mampu merosakkan parti.-ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment