AHLI PERLU BERDIRI BERSAMA PRESIDEN: KETUA BAHAGIAN UMNO




KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO yang dilihat gagal bersama-sama presiden parti wajar mengundurkan diri. Rata-rata ketua bahagian bersetuju dengan saranan berkenaan agar parti terus maju.

Ketua Bahagian UMNO Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya berkata situasi ini boleh diumpamakan seperti sebuah operasi di atas kapal.

"Hanya nakhoda yang patut memberi arahan dan kelasi haruslah bersama-sama ketua dalam memastikan kapal mampu sampai ke destinasi," kata Shabudin, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Pendapat beliau turut dikongsi Ketua Bahagian Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad yang menyifatkan semua ahli harus memberikan sokongan tanpa belah bahagi supaya presiden mampu mengemudi parti ke hadapan.

"Semua harus seia sekata bersama presiden supaya UMNO boleh mengatasi cabaran dalam mengembalikan sokongan penuh daripada rakyat," kata Ahli Parlimen Langkawi itu.

Pengerusi Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut menekankan kepentingan parti untuk bersatu dalam menghadapi cabaran semasa.

Ketiga-tiga mereka ditemui selepas Majlis Taklimat Presiden sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Selasa malam.
Mereka turut melahirkan rasa puas hati terhadap penerangan yang diberikan Najib dalam beberapa isu berbangkit seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu derma RM2.6 bilion dan lain-lain.

Comments

Popular Posts