Followers

MALAYSIA AKAN TINGKATKAN PENGUATKUASAAN KESELAMATAN SIBER: ZAHID


ROME:  Malaysia berminat untuk meningkatkan penguatkuasaan keselamatan siber bagi menangani pengaruh keganasan menerusi dalam talian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata langkah itu penting bagi menghalang rakyat daripada direkrut kumpulan pengganas.

Beliau memberitahu demikian kepada wartawan Malaysia di sini selepas mengadakan pertemun dengan Menteri Dalam Negeri Itali, Angelino Alfano yang kedua-duanya turut membincangkan kerjasama berhubung keganasan, migran dan pemerdagangan manusia serta jenayah terancang.

"Pihak Itali begitu serius mengenai keselamatan siber dan telah memperuntuk €150 juta (kira-kira RM672.7 juta). Malaysia mesti mengambil langkah segera menangani cubaan merekrut anggota pengganas secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata kementeriannya terutama pihak polis memerlukan peruntukan besar untuk memperkuat aspek penguatkuasaan teknikal selain pengurusan berkaitannya.

Malaysia, katanya merancang untuk menghantar pegawai polis dan kastam ke Itali untuk melihat lebih dekat cara negara berkenaan menangani isu jenayah terancang dan imigresen.

Ahmad Zahid yang sedang dalam lawatan tiga hari ke Itali turut mengadakan pertemuan pada Selasa dengan Ketua Polis Itali, Alessandro Pansa dan Ketua Jabatan Kebebasan Awam dan Imigresen Itali, Mario Morcone.

Beliau kemudiannya turut mengadakan majlis makan malam untuk rakyat Malaysia yang tinggal di sini.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment