#PAU2015: PEMBETULAN DALAM UMNO HARUS DIMULAKAN-AHMAD ZAHID
KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pembetulan perlu dilakukan dalam parti itu bagi memastikan apa jua masalah dalaman diselesaikan segera demi kelangsungan parti.
Jelasnya, beliau yakin pembaikan mampu dilakukan dengan kebijaksanaan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Dalam soal ini, pembetulan harus dimulakan supaya air tidak terus keruh di sepanjang aliran sungai, jika ia keruh di hulu, pasti ia akan keruh di hilir. Oleh sebab itu kekeruhan di hulu hendaklah dijernihkan supaya tidak keruh hingga ke hilir.
"Saya fikir kebijaksanaan Presiden untuk menjernihkan yang keruh ada pada beliau dan tidak ada ikan yang mati keracunan dalam kekeruhan air yang telah diracunkan itu," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
"Mereka (perwakilan) jelas dengan 13 perkara yang disebutkan presiden. Namun kita akui terdapat kepelbagaian dari segi tafsiran yang sebenarnya. Jangan letak di bahu Presiden tetapi kepimpinan UMNO dan akar umbi harus faham maksud tersirat supaya tidak wujud persepsi.
"Kita harap usaha presiden ini dapat diterjemah sepenuhnya untuk perkasa UMNO. Kalau ada unsur kerosakan daripada dalam ianya hendaklah diperbaiki. Usaha pembaikan perlu dilakukan sebab UMNO sebelum ini pernah mengalami lebih besar lagi. Saya tidak nampak masalah ini tidak boleh diatasi.
"Saya fikir ianya harus dilakukan (kumpulan penerangan) bukan hanya bergantung kepada penerangan UMNO melakukan usaha untuk melakukan penjelasan tapi sebelum penjelasan tapi soal 'housekeeping' hendaklah dilakukan," tambahnya.- ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment