#PAU2015: PARTI POLITIK ASING, KUASA BESAR DUNIA UCAP TAHNIAH PERSIDANGAN UMNO 2015


KUALA LUMPUR, Parti-parti politik antarabangsa termasuklah kuasa besar China mengucapkan tahniah kepada UMNO atas berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang bermula semalam dengan Taklimat Presiden.

Dalam kunjungan hormatnya kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pemimpin Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC), H.E. Wang Sanyun melahirkan rasa gembira dan amat berbesar hati dapat bersama-sama dalam Perhimpunan Agung UMNO yang menjadi tunggak kepada pentadbiran negara.

"Sejak dari awal lagi, UMNO tidak pernah jemu dan terus berusaha memastikan kesinambungan kedaulatan, kebebasan dan perpaduan di Malaysia yang kemudiannya menjadi contoh terbaik kepada masayarakat antarabangsa," katanya.

Ujar beliau yang juga pemimpin Wilayah Gansu, UMNO dilihat bukan hanya sekadar rakan dalam jalinan parti politik yang mendukung pentadbiran negara tetapi juga dianggap sebagai sahabat serantau yang saling memberi sokongan dalam hal-hal semasa.

"Kami mengharapkan agar hubungan diplomatik yang terjalin selama lebih 40 tahun ini akan berterusan dan akan melibatkan lebih banyak perkongsian dalam pelbagai lapangan."

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan tahniah daripada CPC kepada kepimpinan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Dalam masa yang berlainan, hal tersebut turut diakui oleh delegasi dari Workers' Party Of Korea yang diwakili oleh H.E. Kang Chol selaku Duta Besar Republik Korea ke Malaysia semasa mengiringi dua delegasinya ke sini.

Turut sama menyampaikan ucapan tahniah kepada UMNO melalui kunjungan hormat kepada Tengku Adnan ialah Sri Lanka Muslim Congress, Parti Komunis Vietnam dan Wiper Democratic Movement Party, Kenya.

Dalam perhimpunan kali ini, UMNO menerima delegasi luar negara seramai 122 orang delegasi, mewakili 34 parti melibatkan 21 buah negara. –MediaUMNO

Comments

Popular Posts