KEANGGOTAAN ANINA TERBATAL APABILA FAIL SAMAN TERHAFAP UMNO : PEGUAM
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin diberitahu bahawa kedudukan Anina Saadudin sebagai anggota UMNO terbatal secara automatik apabila dia memfailkan saman terhadap UMNO.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, Anina telah melanggar perlembagaan parti dan sebagai anggota UMNO, Anina terikat dengan peraturan dan undang-undang parti itu.
Beliau mewakili Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh dalam saman yang difailkan anggota Wanita UMNO Langkawi itu terhadap mereka.
"Ia bukan peruntukan undang-undang, tetapi peruntukan kontrak. Tidak kira apa pun peraturan parti, anggota terikat dengannya dari segi undang-undang. Kontrak ini dipersetujui dalam UMNO.
"Sekiranya seseorang itu melanggar undang-undang atau sebaik sahaja seseorang itu mengambil tindakan mahkamah, keanggotaannya gugur secara automatik," kata Mohd Hafarizam dalam hujahnya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman S. Nantha Balan.
Mohd Hafarizam berkata Anina tidak boleh menggunakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan bagi mencabar pemecatannya daripada UMNO.
Pada Isnin mahkamah itu mendengar permohonan Tengku Adnan dan Ab Rauf untuk mengetepikan saman yang difailkan Anina pada 28 Ogos lepas bagi mencabar pemecatannya sebagai anggota UMNO.
Anina dipecat daripada UMNO selepas dia memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ab Rauf, antara lain, untuk menuntut sebahagian daripada sumbangan RM2.6 bilion (AS$650 juta) yang didakwa didepositkan ke dalam akaun peribadi presiden parti itu di Singapura.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Anina, pula dalam hujahnya berkata bahawa defendan pertama (Tengku Adnan) tidak mematuhi prosedur dalam Perlembagaan UMNO berhubung dua surat untuk memecat plaintif daripada UMNO.
Katanya, pendedahan surat itu, bertarikh 1 dan 2 September, kepada media dan orang ramai oleh Tengku Adnan, tanpa terlebih dahulu memaklumkan plaintif secara peribadi, adalah pincang dan melanggar undang-undang.
"Plaintif hanya mengetahui tentang pemecatannya daripada UMNO selepas perkara itu menjadi viral dalam media sosial," katanya sambil menambah bahawa plaintif hanya mengetahui tentang surat itu apabila Tengku Adnan menyebarkannya kepada media dan orang ramai pada 1 dan 2 September 2015.
Amalan lazim
Beliau berkata adalah amalan lazim bagi orang atasan untuk memberi notis atau surat sebelum memecat atau menggugurkan orang bawahan.
Mohd Hafarizam membalas hujah itu dengan berkata perkara berkenaan hanya merupakan suatu formaliti.
Katanya, UMNO adalah sebuah parti politik yang didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan 1966, yang mana Seksyen 18C akta itu dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkaitan hal-ehwal sesebuah parti politik.
Oleh demikian, kata beliau, mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan saman Anina kerana isu yang dipertikaikan melibatkan suatu keputusan parti politik berdasarkan perlembagaannya.
Mahkamah menetapkan 7 Disember ini untuk memberi keputusan tentang permohonan Tengku Adnan dan Ab Rauf bagi mengetepikan saman Anina.
Dalam saman yang difailkan pada 5 Oktober, Anina, 40, memohon perintah agar dua surat pemecatan yang dikeluarkan Tengku Adnan itu adalah tidak sah dan tidak memberi kesan terhadap keanggotaannya dalam UMNO.- BERNAMA
Comments
Post a Comment