Followers

NURUL IZZAH DIRUJUK KE JAWATANKUASA HAK DAN KEBEBASAN PARLIMEN


KUALA LUMPUR :  Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk merujuk Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.


Usul yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said itu susulan pertemuan diantara Nurul Izzah dengan Jacel Kiram yang merupakan anak kepada Jamalul Kiram III.

Dalam sesi undian belah bahagian, 105 ahli Parlimen bersetuju dengan usul tersebut berbanding 77 mengundi tidak bersetuju.

Ketika sesi perbahasan, Nurul Izzah dalam nada sebak menyatakan bahawa beliau masih berpegang teguh dan menghormati kedaulatan undang-undang dan perlembagaan negara.

"Saya akui masih berpegang pada kedaulatan negara...angkat sumpah untuk mendaulatkan perlembagaan negara.. tidak mencabulnya," kata Nurul Izzah.

Beliau turut menyifatkan pertemuan tersebut bukanlah dirancang oleh beliau sebaliknya kedua-dua mereka bertemu dalam majlis yang sama.

Sesi perbahasan turut menyaksikan pertengkaran mulut antara ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, Nurul Izzah menyatakan kesediaan beliau untuk berhadapan dengan jawatankuasa tersebut.

"Ya, saya terima keputusan ini dengan terbuka dan saya bersedia ke jawatankuasa," kata Nurul Izzah.
Pada 9 November lalu, tersebar gambar Nurul Izzah bertemu Jacel yang merupakan anak perempuan kepada bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Perbuatan itu menimbulkan kemarahan rakyat Sabah dan keluarga mangsa yang terkorban di Lahad Datu sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul menghalang beliau dan Anggota Parlimen Batu, Tian Chua daripada memasuki negeri itu.- ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment