Followers

#PAU2015: 2,742 PERWAKILAN MULAKAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2015


KUALA LUMPUR, 10 Dis – Perhimpunan Agung UMNO 2015 memulakan tirainya dengan melibatkan 2,742 perwakilan dari seluruh negara bersama-sama dalam Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.


Ujarnya, persiapan bagi melaksanakan Perhimpunan Agung UMNO 2015, telah berjalan dengan lancar yang membabitkan hal-hal yang dimulakan di akar umbi iaitu, melibatkan ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian, meliputi keseluruhan keanggotaan parti termasuklah Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

"Tanggungjawab ini dibuat dengan telus secara muafakat berpaksikan kepada apa yang telah digariskan dalam Perlembagaan UMNO dan Peraturan Persidangan parti."

Katanya, Perhimpunan Agung UMNO kali ini memberi makna yang cukup besar, bukan sahaja kepada ahli-ahlinya tetapi juga kepada masyarakat keseluruhan, khususnya untuk melihat kesinambungan perjuangan agar terus relevan.

"UMNO adalah parti yang berteraskan agama dan bangsa demi kedaulatan negara tanpa meminggirkan mana-mana kaum lain. Atas konsep perpaduan maka kesejahteraan dapat dipelihara dan masyarakat Malaysia dapat hidup aman walaupun pelbagai bangsa, rumpun berbeza, agama tidak sama dan budaya yang berlainan.

"Maka marilah kita sama-sama terus memanjatkan kesyukuran dan menghargai apa yang kita miliki, menjaga yang ada, memartabat maruah, mempertahan kemerdekaan, menghayati kedaulatan dan terus memupuk perpaduan."

Katanya, dalam kelansungan parti berdepan dugaan dan cabaran, UMNO masih tetap mengekalkan momentum cemerlang dengan hubungan langsung antara parti-parti politik di peringkat antarabangsa.
"Sememangnya ikatan akrab dan hubungan diplomatik antara UMNO dengan parti-parti politik asing amat membanggakan malah kita sentiasa menerima kunjungan rasmi daripada mereka selain menjadi rujukan dan memetrai perjanjian persefahaman serta berkongsi pendapat sama ada dari rantau Asia, Timur Tengah, Eropah dan juga negara-negara Barat," jelas beliau yang melaporkan bahawa delegasi luar negara seramai 119 orang, mewakili 33 parti melibatkan 21 buah negara turut bersama dalam persidangan tersebut.

Beliau turut melaporkan bahawa kedudukan keahlian UMNO sehingga 9 Disember 2015, jumlah ahli yang dicatat ialah 3,528,704 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,502.

"Bilangan ahli teramai iaitu 547,700 orang diterajui oleh Negeri Sabah manakala Bahagian yang mencatat bilangan ahli tertinggi masih lagi didahului oleh bahagian Silam, Sabah, dengan jumlah ahli seramai 50,342 orang sementara keahlian cawangan teramai dengan jumlah ahlinya 2,051 orang ialah Kampung Batu Putih Darat, Libaran, Sabah," katanya.

Tambahnya, UMNO turut menggerakkan semua ahlinya selaku tunjang utama parti untuk menjadi jentera paling berkesan dalam memastikan pertambahan jumlah keahlian di samping berdaftar sebagai pemilih lantas dapat menunaikan tanggungjawab menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 kelak. – MediaUMNO

No comments:

Post a Comment