KUALA LUMPUR: Prosedur pengambilan pelarian Syria dibuat melalui satu proses ketat termasuk semakan latar belakang mereka bagi memastikan golongan itu tidak menjadi ancaman serta bebanan kepada negara kemudian hari.
Pada masa sama, Malaysia juga sedang mengenalpasti kaedah terbaik menempatkan mereka termasuk menyediakan tempat penginapan yang sesuai dan peluang pekerjaan.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, keutamaan diberikan kepada imigran Syria yang mempunyai keluarga di negara ini dan boleh berdikari agar tidak membebankan kerajaan.
"Program ini akan mengambil masa tiga tahun dan kita sedang mencari cara terbaik untuk mengambil imigran Syria tanpa menimbulkan masalah keselamatan dan beban yang besar kepada kerajaan. Sebab kalau kita ambil orang yang memerlukan pertolongan sepenuhnya maka kerajaan terpaksa tanggung kos mereka di sini untuk jangka masa lama," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai penempatan bagi imigran Syria, kata beliau pihaknya sedang mengenal pasti model yang sesuai bagi menampung mereka termasuk menyediakan penempatan tetap.
"Kalau mereka sudah ada keluarga di sini, keluarga tersebut akan membantu untuk menjaga mereka dalam masa terdekat. Selepas itu kita carikan tempat-tempat yang sesuai untuk mereka tinggal," katanya.
Ditanya mengenai peluang pekerjaan, kata Nur Jazlan, imigran Syria bebas mencari rezeki di negara ini asalkan mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Ada beberapa syarat kalau mereka mempunyai dokuman perjalanan sah seperti passport, kita boleh beri pas lawatan sementara dan pas pekerjaan sementara. Itu tidak ada masalah. Tetapi ada kategori tiada pas perjalanan sah, itu masalah yang perlu kita selesaikan," katanya lagi.
Ditanya mengenai ketibaan kumpulan seterusnya, kata Nur Jazlan, kerajaan tidak mahu tergesa-gesa dalam mengambil pelarian Syria berikutan ia akan dilaksanakan secara berperingkat selama tiga tahun.
"Kedatangan kumpulan pertama ini merupakan 'projek perintis' di mana kita nak tengok kesesuaian atau kelancaran model pengambilan imigran Syria ini pada masa akan datang. Jadi kalau kita berjaya tentukan model dia dengan kumpulan kecil ini, maka lebih mudah mengambil kumpulan besar pada masa akan datang," katanya.
Pada Selasa, lapan imigran Syria dari dua keluarga selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4:50 petang menerusi Turkish Airline.
Pengambilan 3,000 pelarian Syria akan dilakukan secara peringkat selama tiga tahun bagi membantu meringankan krisis pelarian.- ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment