'TUMPU SEMANGAT 'ESPRIT DE CORPS' DALAM PELAN STRATEGIK KEMENTERIAN LUAR': ANIFAH


KUALA LUMPUR:  Pelan Strategik Kementerian Luar 2016 – 2020 akan menggariskan hala tuju, memupuk budaya kerja yang baik termasuklah mewujudkan semangat kekitaan (esprit de corps) di kalangan warga Wisma Putra sendiri.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, ia penting dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai kementerian utama yang melaksanakan dasar luar dan hubungan antarabangsa negara.

"Pelan Strategik Kementerian merupakan satu dokumen yang penting. Seperti kita semua sedia maklum, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai mekanisme untuk memantapkan sistem pentadbiran Kerajaan Malaysia.

"KPI telah ditetapkan untuk setiap kementerian untuk memastikan segala program Kementerian terlaksana secara terancang and teratur.

"Dalam merangka Pelan Strategik Kementerian, satu Pelan Tindakan yang komprehensif telah dibangunkan dan turut mengandungi  KPI yang telah diselaraskan dengan pelbagai sistem pelaporan prestasi lain yang dilaksanakan oleh agensi-agensi seperti MAMPU, JPA dan PEMANDU," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Anifah berkata demikian semasa mengulas Pelan Strategik Kementerian Luar Negeri 2016-2020 yang dibentang semasa berucap di kementeriannya.

Dalam pada itu jelasnya, pelan tindakan itu dibahagikan di bawah enam objektif strategik yang merangkumi perkhidmatan teras dan juga aspek-aspek penyampaian perkhidmatan Kementerian.

"Objektif strategik tersebut adalah memperkukuhkan diplomasi dua hala dan pelbagaihala, memperkukuhkan ASEAN, menyampaikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan, mempromosikan Malaysia melalui diplomasi awam dan memperkukuhkan organisasi dan sumber manusia.

"Pelan yang baru ini juga memberi tumpuan kepada prinsip keberhasilan untuk KPI yang telah ditetapkan. 

"Peralihan corak pengukuran kemajuan dan prestasi Kementerian ini diharap akan mengangkat taraf penyampaian perkhidmatan ke peringkat yang lebih tinggi dan berkualiti," ujarnya.

Dalam pada itu jelasnya, Wisma Putra akan terus memainkan peranan dalam mempertahan serta mengetengahkan kepentingan negara merentasi dunia.

"Cabaran di dalam mengendalikan hubungan antarabangsa bukan perkara yang mudah.  Saya amat berbangga dan mengagumi komitmen, prestasi serta profesionalisme yang telah ditunjukkan oleh warga Wisma Putra sepanjang memimpin Kementerian ini.

"Kita perlu menangani pelbagai isu antarabangsa yang mempunyai kesan dan impak terhadap kepentingan negara. Malaysia dan masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya berhadapan dengan isu-isu politik, keselamatan dan sosio-ekonomi yang lebih kompleks.

"Keganasan, jenayah rentas sempadan, perubahan iklim dan migrasi merupakan antara isu-isu yang perlu ditangani oleh masyarakat dunia pada masa kini demi kebaikan dan kesejahteraan sejagat," katanya.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts