KUALA LUMPUR: Sistem kewangan Islam yang dipelopori UMNO sejak 1981 berjaya membela dan menaik taraf ekonomi orang Melayu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu berkata sistem kewangan Islam bersifat menyeluruh melibatkan pelbagai komponen bagi membantu semua kelompok masyarakat.
Asyraf Wajdi, yang juga bekas Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), berkata UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu Islam memainkan peranan penting sehingga Malaysia dikenali sebagai pencetus perkembangan kewangan Islam dengan sistem paling komprehensif di dunia.
"Contohnya sistem Ar-Rahnu yang fokus kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin serta sistem mikro kredit Islam seperti diperkenalkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia.
"Dalam konteks golongan pertengahan, mereka boleh menggunakan kewangan Islam sebagai sistem alternatif kepada sistem konvensional dan bagi sektor korporat atau mereka yang mempunyai kemampuan kewangan kita merupakan penawar Sukuk terkemuka dan terbesar di dunia," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2015 pada Selasa.
Asyraf Wajdi berkata penubuhan Bank Islam adalah hasil cetusan idea Biro Agama UMNO pada awal 1980-an, selain peranan yang dimainkan parti itu dalam penubuhan institusi lain yang membawa kepada perkembangan sistem kewangan Islam.
"Kita juga satu-satunya negara di dunia yang mempunyai sistem kewangan Islam menyeluruh bukan hanya bank tetapi ada takaful, pasaran modal Islam, struktur perundangan yang mendasari dan mengawal selia kewangan Islam, pusat penyelidikan syariah kewangan Islam dan universiti yang fokus kepada perbankan Islam," katanya.
Beliau berkata walaupun usul mengenai kewangan Islam secara khususnya tidak dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini namun agenda pembangunan sistem kewangan akan terus menjadi keutamaan parti.
Dalam konteks agama, Asyraf Wajdi, yang juga anggota jawatankuasa penyediaan usul, berkata terdapat 70 usul berorientasikan agama diketengahkan dalam perhimpunan kali ini.
"Kebanyakannya berkait dengan soal mahu UMNO memartabatkan dan mendaulatkan Islam berasaskan panduan akidah yang benar iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah dan terus mempelopori agenda dan kelangsungan memartabatkan Islam secara menyeluruh," katanya.- BERNAMA
Comments
Post a Comment