PUTERI UMNO DESAK KERAJAAN KAJI SEMULA KENAIKAN TAMBANG PENGANGKUTAN AWAM


KUALA LUMPUR:  Pergerakan Puteri UMNO menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan menaikkan kadar tambang pengangkutan awam.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO menegaskan penilaian semula itu perlu kerana kenaikan tambang menambah tekanan kos sara hidup, khususnya anak muda.

"Kami mendesak pihak kerajaan melalui SPAD untuk mengkaji semula dan merasionalisasikan kenaikan harga pengangkutan awam yang membebankan pengguna melalui kenaikan tambang LRT serta ERL yang mendadak serta pengenalan tambang yang agak tinggi bagi perkhidmatan baru iaitu Bus Rapid Transit (BRT)," kata Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Keadaan itu juga mempengaruhi kos kehidupan wanita muda yang dihimpit ketidakseimbangan di antara pendapatan bulanan dan keperluan kos sara hidup harian.

"Statistik menunjukkan lebih 50 peratus pengguna pengangkutan awam adalah dari kumpulan umur di bawah 35 tahun dan 52 peratus pengguna tersebut adalah golongan pelajar."

"Kita perlu sedar matlamat memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam adalah agar kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan melalui lebih banyak pilihan mod pengangkutan dengan kos yang berpatutan," ujarnya.

Mas Ermieyati juga menyambut baik pakej diskaun kepada golongan pelajar, warga emas dan OKU yang ditawarkan Prasarana Malaysia Berhad.

Ujar beliau, Puteri UMNO berharap semua pengedali perkhidmatan pengangkutan awam membuat tawaran yang sama.- ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts