'JANGAN BIMBANG BERKENAAN TPPA': NAJIN
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati rakyat supaya tidak bimbang dengan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) kerana ia akan ditentukan berdasarkan kepada terma Malaysia.
Tegas beliau, dalam pelaksanaan TPP, kedaulatan dan kepentingan negara, khususnya agenda Bumiputera menjadi keutamaan kerajaan.
"Jangan kita takut TPP, saya dah cakap TPP ikut terma kita, seperti kita sebut dalam ucapan dasar.
"Selepas kita berunding, saya jumpa Presiden AS, Obama dua kali...saya kata bahawa agenda Bumiputera adalah penting bagi kita. Ahirnya dia (AS) terima. Akhirnya 11 negara terima agenda Bumiputera.
"Jangan takut untuk bersaing...Vietnam tu pun berani. Brunei yang macam tu je pun berani (merujuk kepada saiz negara)...takkan kita tak boleh?" katanya.
Malah, Najib percaya, daya saing negara akan dapat dipertingkatkan jika negara menyertai TPP seperti mana beberapa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang Malaysia tandatangani sebelum ini.
"TPP ini agenda Bumiputera, akan kita pertahankan. Banyak FTA kita tandatangan...rizab lebih daripada jangkaan kita.
"Saya tanya Tok Pa (Datuk Seri Mustapha Mohamed) dalam masa tiga bulan sahaja, eksport negara naik 200 peratus, tiga bulan sahaja," tegas Najib ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini hari ini.- ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment