#UMNO2015: GALAK GLC DALAM SEKTOR PERUMAHAN KAWAL HARGA- UMNO SABAH
KUALA LUMPUR, Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dilibatkan secara aktif dalam pelaburan sektor perumahan untuk menstabilkan
harga rumah yang melambung tinggi hingga menghimpit rakyat khususnya Bumiputera, kata wakil UMNO Sabah.
Ketua UMNO Ranau Datuk Seri Masidi Manjun berkata penguasaan syarikat swasta dalam sektor itu lebih mementingkan keuntungan hingga menyebabkan kenaikan harga rumah.
"GLC boleh melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memainkan peranan dalam mempengaruhi harga rumah melalui penetapan harga yang lebih munasabah dengan mengambil keuntungan lebih rendah berbanding syarikat swasta," katanya.
Berdasarkan pemerhatiannya, GLC dan agensi kerajaan seperti Felda dan Mara (Majlis Amanah Rakyat) aktif melabur dalam sektor hartanah di United Kingdom dan Australia tetapi tidak pula di pasaran tempatan seperti di sekitar Kuala Lumpur atau Sabah.
"Bukan niat saya untuk meminta mereka menarik diri daripada pelaburan di luar negara, tetapi seimbangkan antara pelaburan di dalam dan luar negara," katanya semasa menyokong usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Masidi juga meminta kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing yang kini berjumlah lebih dua juta orang.
Tegasnya keutamaan harus diberikan kepada anak tempatan yang menganggur berjumlah kira-kira 410,700 orang dengan golongan bumiputera adalah yang tertinggi iaitu 270,000 orang.
"Yang anehnya, jumlah pekerja asing lebih dua juta orang, tetapi 400,000 rakyat kita tidak mampu mendapatkan pekerjaan. Inilah perkara yang perlu direnung, orang asing boleh cari kerja, orang kita masih menganggur," katanya sambil tidak menafikan ia mungkin disebabkan faktor terlalu memilih pekerjaan.
Justeru, beliau mencadangkan supaya Program Latihan Khidmat Khidmat (PLKN) dijadikan medan latihan untuk melengkapkan anak muda dengan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja.
Masidi turut meminta agar isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dijadikan polemik yang boleh mengalih perhatian kerajaan daripada usaha lebih penting iaitu pembangunan ekonomi negara.
"UMNO Sabah yakin isu 1MDB dapat diselesaikan dengan mengambil kira langkah dan tindakan yang telah diambil ketika ini. Tumpuan patut diberikan kepada usaha menangani cabaran ekonomi global yang semakin muram," katanya.
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmian perhimpunan agung UMNO semalam berkata pelan rasionalisasi 1MDB berjalan dengan baik dan dalam proses penyelesaian.
Gomen belanja bayar lo kepada mekanik dan kontraktor. Ketua Jabatan pulak tak reti nak bantu sepatutnya kepada sasaran yang perlu dibantu. Dok asyik makan persen aje...... mampuih.
ReplyDelete