LAHAD DATU: AMARAN! PENCEROBOH DIARAHKAN LETAK SENJATA ATAU BERDEPAN TINDAKAN DRASTIK-HISAMMUDDIN


LAHAD DATU, 2 Mac - Pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa daripada Tentera Diraja Kesultanan Sulu di Filipina supaya menyerah diri dan meletakkan senjata serta merta atau berdepan tindakan tegas dan drastik.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, selepas insiden tembakan semalam yang mengorbankan dua anggota komando polis (VAT 69), kumpulan penceroboh warga Filipina yang bersenjata di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari sini, tidak mempunyai pilihan lain.

"Selepas insiden semalam, mereka (penceroboh) tidak ada pilihan lain sama ada mereka letak senjata dan menyerah diri atau terpaksa berhadapan dengan apa jua tindakan yang pihak berkuasa terpaksa ambil," katanya pada sidang akhbar mengenai insiden tersebut di Felda Sahabat 16, kira-kira 130km dekat sini, Sabtu.

Hishammuddin tiba di sini pagi ini dan akan berada di Sabah sehingga kes pencerobohan membabitkan kumpulan itu selesai.

Sejurus tiba di Felda Sahabat 16, Hishammuddin bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mendengar taklimat daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib mengenai insiden tembak menembak antara pasukan keselamatan negara dengan kumpulan itu di Kampung Tanduo di Felda Sahabat 17, semalam.

Kejadian kira-kira 10 pagi itu menyaksikan dua anggota komando polis VAT 69 terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata terbabit turut maut.

Ia turut mencederakan tiga lagi anggota pasukan keselamatan Malaysia.

Pada sidang media yang sama, Ismail berkata, pada masa ini polis sudah tidak mempunyai pilihan lain, selain menamatkan insiden itu secepat mungkin berikutan tindakan kumpulan penceroboh itu semalam.
"Selepas apa yang berlaku semalam, situasi semasa adalah terkawal. Kumpulan tersebut telah terkepung di Kampung Tanduo oleh pasukan keselamatan yang berada dalam keadaan "kami mengawal keadaan".

"Polis dan pasukan keselamatan mengawal keadaan, dan kumpulan ini terperangkap di Kampung Tanduo. Saya nak beri amaran kepada mereka dalam keadaan semasa kini, elok mereka serah diri. Masa sudah banyak diberi. Perbuatan mereka ini telah tidak memberi pilihan lain kepada saya.

"Saya tidak ada pilihan sekarang selain untuk mengambil tindakan yang ada untuk menangkap mereka. Sekali lagi saya minta mereka letak senjata dan serah diri. Jika tidak saya tidak ada pilihan tetapi akan mengambil tindakan drastik dan tindakan sewajarnya bagi menamatkan keadaan," tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa penceroboh yang menyerah diri kelak tetap akan diambil tindakan berdasarkan undang-undang Malaysia kerana kumpulan berkenaan sudah melakukan kesalahan yang amat serius di negara ini.

Ismail berkata kehidupan seharian di Lahad Datu berjalan seperti biasa dan tidak ada perintah berkurung diisytiharkan, manakala kawasan operasi polis ialah di kawasan Kampung Tanduo.

Katanya, polis turut mempertingkat langkah keselamatan melalui sekatan-sekatan jalan raya dan keadaan itu akan diteruskan.- BERNAMA

Comments

  1. Berapa lama nak dibagi amaran daa..anarab jo dah tak laku sebab dari dulu perkataan amaran dan sinonim dengan ko..tindakan susulan takde jugak..

    ReplyDelete
  2. very good !!!! amaran lagi....

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts