17 NGO BACHOK BUAT LAPORAN


BACHOK – Sebanyak 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh daerah Bachok membuat laporan berkaitan kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua di Balai Polis Gunung dekat sini hari ini.

Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Malaysia negeri Kelantan, Datuk Dr Ilias Husain berkata, tindakan melampau Tian Chua tidak boleh dibiarkan.


Beliau berkata, Tian Chua sepatutnya berdiri teguh mempertahankan kedaulatan tanah air kerana Malaysia sebuah negara berdaulat yang diiktiraf dunia.

"Sebelum kemasukan Sabah ke dalam Malaysia, pungutan suara yang dikehendaki majoriti rakyat Sabah dan Sarawak.

"Dia tidak boleh nafikan apa yang dikatakan sebagai propaganda media kerana bukti rekod percakapannya juga kita sudah lihat," katanya ketika sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Gunung dekat sini.

Ilias berkata, rakyat keturunan Sulu di Sabah juga mengutuk pencerobohan itu disebabkan mereka sudah menjadi sebahagian dari Malaysia dan menyayangi negara ini.

Laporan yang dibuat pada jam 11 pagi itu dihadiri kira- kira 200 wakil ahli NGO dan penduduk setempat.

Mereka juga membakar replika patung Tian Chua sebagai simbolik bantahan terhadap pemimpin PKR itu.
Antara NGO terlibat ialah Kelab Seni Kebudayaan Bachok, Persatuan Kontraktor Bachok, Persatuan Nelayan, Perkasa, Persatuan Pesara Polis, dan Rukun Tetangga Keting.

Ini adalah laporan pertama yang dibuat NGO Bachok sejak krisis Lahad Datu bermula bulan lalu.


Bagi wakil Wanita Jelawat, Siti Maheram Majid,48, berkata, kenyataan sedemikian sudah pasti amat menggores perasaan keluarga anggota keselamatan terlibat.

Katanya, sebagai pemimpin pembangkang mereka juga perlu ada semangat cintakan tanah air walau dari parti bebeza.

"Sikap mereka seperti bukan warganegara ini yang seolah menyokong pencerobohan dan menganggap ia sebagai sandiwara.

"Sedangkan ketika ini semua anggota keselamatan memerlukan sokongan seluruh rakyat Malaysia untuk menghadapi saat getir, tetapi tidak bagi pemimpin pembangkang yang hanya tahu mengutuk amanah perwira negara," katanya.

Bagi seorang pesara polis, Mohd Zin Ismail,60, kenyataan yang dibuat itu tidak melihat kepada kepentingan keselamatan negara.

"Saya sebagai bekas polis amat terkilan dengan kenyataan itu yang tidak berasas dan mengeruhkan keadaan.

"Dia sepatutnya menyokong usaha pihak keselamatan untuk memulihkan keadaan dan bukan membuat tuduhan politik. Jika dia tidak dapat memberikan sumbangan apa- apa, sebaiknya dia diam sahaja," katanya yang bersara dengan pangkat Deputi Superintendan.

Sumber : detik perubahan blog

Comments

Popular Posts