DIDAKWA HINA ISLAM: KDN AKAN BERJUMPA PENGEDAR FILEM VISHWAROOPAM

KLUANG 2 Feb - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perjumpaan dengan pengedar filem Vishwaroopam bagi membincangkan isu penayangan filem itu di negara ini. 
 
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perjumpaan dengan Lotus Five Star Sdn Bhd yang dijangka diadakan minggu depan itu akan mengkaji dan mencari penyelesaian yang wajar ke atas filem itu. 
 
"Saya kenal dengan pemilik syarikat pengedaran itu dan kita akan cari penyelesaian menerusi sumbernya," katanya selepas sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Sembrong, di Felda Ulu Belitong di sini, hari ini, lapor Bernama.
 
Sehubungan itu, Hishammuddin turut mengingatkan semua pihak terutama komponen Barisan Nasional dan rakyat supaya memahami isu sebenar mengenai filem berkenaan dan tidak terikut-ikut dengan kenyataan yang dibawa pihak luar bagi mengelakkan sebarang polemik. 
 
Vishwaroopam, yang juga sebuah filem Tamil lakonan Kamal Hassan mencetuskan kontroversi kerana didakwa menghina komuniti Islam. 
 
Filem itu ditayangkan pada 24 Januari lalu di negara ini tetapi ditarik balik pada hari berikutnya berikutan satu arahan daripada pihak KDN. 
 
Sementara itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO sekali lagi mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai isu yang sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi memburuk-burukkan kerajaan menjelang pilihan raya umum. 
 
Beliau berkata, tindakan itu dilihat boleh menyebabkan perpecahan antara kaum sehingga menjejaskan keharmonian negara. 
 
"Antara yang ditimbulkan termasuk menggembar gembur isu keselamatan di negara ini dan membuat 'serangan' terhadap polis," katanya. 
 
Sumber: KLPos Dot com

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Comments

Popular Posts