BL1M DAPAT SAMBUTAN, TARIKH TUTUP DILANJUTKAN HINGGA 1HB MAC

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Januari lalu dilanjutkan sehingga 1 Mac depan berikutan sambutan yang menggalakkan dan permintaan dari masyarakat yang sangat memberansangkan.

BL1M yang diletakkan dibawah seliaan Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) dan Pemuda Pemuda Barisan Nasional (BN) adalah program kemasyarakatan bagi meningkatkan taraf pengetahuan undang-undang jalan raya dan etika pemanduan bagi para belia untuk merealisasikan hasrat kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Program ini sepatutnya tamat tempohnya pada 15 Februari iaitu dua minggu dari tarikh pelancaran tetapi atas permintaan orang ramai serta akar umbi maka program ini dilanjutkan," kata pengerusinya Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.

Jelasnya, sehingga kini lebih dari 103,000 penyertaan diterima dan antara faktor tempoh tersebut dipanjangkan ialah cuti panjang dalam musim perayaan, kesesakan di institusi kewangan akibat pembayaran BR1M di samping terdapat bakal peserta yang menunggu pembayaran gaji pada akhir bulan selain waktu yang suntuk untuk pemprosesan borang permohonan.

"Kami juga akan memperkenalkan beberapa penambahbaikan mekanisma perlaksanaan pendaftaran dengan menambah 114 pusat pendaftaran BL1M melalui Pusat Ujian Berkomputer (MyEg, MySpeed dan Komms) di seluruh negara serta bekerjasama dengan Majlis Belia Felda, Gerakan Belia 4B dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dengan hampir 400 Pusat Pendaftaran BL1M akan dibuka bermula 20 Februari."

"Kami juga ingin mengingatkan ada beberapa kes dikesan cuba menipu orang ramai bahaw SHEB dan Pemuda BN tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai agen kami," katanya berikutan terdapat sendikit yang menggunapakai nama terbabit untuk mengaut keuntungan.

Pendaftaran juga boleh dilakukan di kaunter Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Menara Dato' Onn Kuala Lumpur dengan pembayaran secara online melalui Visa/Master dan semua e-banking Meps atau melalui kiriman pos berserta 'money order' atau cek ke alamat:

"BL1M- BANTUAN LESEN 1 MALAYSIA"
PEMUDA BARISAN NASIONAL
TINGKAT 28, MENARA DATO' ONN
JALAN TUN ISMAIL
50480 KUALA LUMPUR

Sekiranya terdapat persoalan atau sebarang keterangan lanjut, sila hubungi Tengku Azman sendiri di talian 019-3670036 – MediaUMNO

Comments

Popular Posts