#PAU2013 : WANITA UMNO PERLU BUKTIKAN MAMPU PIMPIN ISU LEBIH BESAR : SHARIZAT

KUALA LUMPUR:  Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil meminta ahli sayap parti itu membuktikan bahawa mereka mampu memimpin isu di luar kerangka wanita.

Shahrizat berkata ahli Pergerakan Wanita UMNO perlu membuktikan mereka memainkan peranan yang berkesan sebagai tulang belakang parti.

"Usah jadikan perjuangan Wanita UMNO sebagai "women-centric". Wanita UMNO mesti bercakap dan memperjuangkan soal perumahan, soal ekonomi dan keusahawanan, soal pendidikan, soal keselamatan, soal keadilan sosial, soal antarabangsa, dan soal masa depan negara.

"Buktikan kita mampu memimpin isu yang akan membawa kepada pembangunan rakyat Malaysia," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Persidangan Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Dalam teks ucapan yang diedarkan, Shahrizat dan tidak  berkata, Wanita UMNO perlu melakukan transformasi dan tidak terperangkap dalam melihat perjuangan Wanita UMNO sebagai sesuatu yang terbatas.

Wanita UMNO juga digesa supaya menggunakan pelbagai media termasuklah melalui media sosial, dan mendekati kelompok di luar selain daripada dalam parti.

"Wanita UMNO mesti terus mendekati masyarakat bandar dan luar Bandar, Wanita UMNO mesti selesa bersama suri rumah dan profesional, Wanita UMNO mesti seiringan dengan yang tua dan yang muda. Wanita UMNO mesti "engage" dengan semua kelompok merentasi zon selesa kita.

"Kita mesti mengambil pendekatan memandang ke luar, atau "outward-looking" dan bukan memandang ke dalam parti saja. Sama ada mereka penyokong atau bersimpati dengan parti pembangkang, kita harus mendekati dan berjuang bersama-sama. Jika mereka tak kenal kita, mungkin mereka tak cinta kita.

"Selain daripada itu, Wanita UMNO bukan saja harus meneroka, tetapi menguasai media sosial. Media sosial bukan sekadar untuk bersantai-santaian, tetapi di situlah tempat untuk kita mendengar suara rakyat Malaysia di zaman ini," katanya.

Shahrizat juga menegaskan masanya sudah tiba untuk Wanita mempertingkatkan perjuangan untuk menjadi jentera politik dalam UMNO.

Kombinasi Wanita UMNO selaku jentera pilihanraya dan jentera politik akan membawa kekuatan luar biasa kepada UMNO," jelasnya.

Dalam ucapannya, Shahrizat turut memuji kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengemudi parti berdepan cabaran pembangkang.

Pergerakan Wanita UMNO memulakan persidangannya hari ini dan dihadiri 989 perwakilan dari seluruh negara. - Astro Awani

Comments

Popular Posts