#PAU2013 : SUDAH TIBA MASANYA WANITA UMNO JADI JENTERA POLITIK


KUALA LUMPUR, 4 Dis – Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata sudah tiba masanya bagi sayap itu meningkatkan perjuangan mereka menjadi jentera politik dalam UMNO selain sebagai jentera pilihan raya.

Katanya menerusi kombinasi peranan itu Wanita akan membawa kekuatan luar biasa kepada UMNO kerana Wanita mempunyai bakat, potensi, pengalaman dan semangat yang jitu untuk menjadikannya realiti.

"Sekian lama, kita Wanita memberi tumpuan kepada kerja-kerja amal, kemasyarakatan, kebajikan dan amal jariah yang lain, kita kuat memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan wanita, keluarga dan masyarakat terutamanya pemerkasaan wanita di semua peringkat.

"Bagi menghadapi cabaran politik semasa, Wanita UMNO tidak boleh lagi mengehadkan diri sebagai jentera pilihan raya sahaja tetapi perlu memperkuatkan pergerakan kita sebagai jentera politik juga," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya bertemakan 'Wanita UMNO: Teras dan Tulang Belakang UMNO' di perhimpunan agung pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Shahrizat berkata UMNO sering membiarkan pembangkang menipu dan mencucuk hidung rakyat, malah membiarkan diri 'diganaskan dengan rogol politik' oleh  pembangkang tanpa serangan balas.

"Oleh kerana kita beradab mungkin ada yang menganggap kita lemah walhal kita berhemah, maka dengan itu kita sebagai ibu tidak boleh membiarkan musuh menyerang bulat-bulat begitu sahaja," katanya.

Beliau juga berkata selepas 66 tahun perjuangan kaum hawa dalam UMNO, sudah tiba masanya Wanita diiktiraf sebagai teras dan tulang belakang UMNO, bukan lagi satu daripada tiga sayap.

"Wanita tidak akan bersaing dengan Puteri, kita sayang Puteri, dia anak kita, Pemuda pun anak lelaki kita, kalau bapa dah ke atas, takkan ibu letak sama dengan anak, mana ada sayap tiga.. sayap (ada) dua sahaja," katanya dan menerima tepukan gemuruh daripada 955 perwakilan yang hadir.

Shahrizat yang berjaya mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Oktober lepas, juga bertekad untuk mengarusperdanakan wanita baik dalam parti, kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Saya bosan dengar kata Wanita UMNO tidak layak duduk dalam GLC, percayalah ramai daripada kami yang berkelulusan, saya percaya wanita mesti berani 'go all out' supaya sokongan puan-puan tidak dipersia, saya tidak rela wanita diperlekeh oleh sesiapa sama ada dalam parti atau di luar," katanya. - Media UMNO

Comments

Popular Posts