#PAU2013: SIAP SEDIA DARI SEKARANG HADAPI PRU-14 : MUHYIDDIN

KUALA LUMPUR:  Semua sayap pergerakan UMNO diarah membuat persiapan mulai sekarang bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 kerana tempoh empat tahun mandat yang tinggal bukannya lama.

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PRU-14 itu akan lebih mencabar bagi UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) berbanding pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

"Kita mesti ingat tempoh empat tahun sebelum PRU-14 bukanlah satu jangkamasa yang panjang. Kita mesti telahpun bersedia bukan hari ini tetapi dari semalam," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Menurut Muhyiddin, Wanita UMNO mesti meneruskan peranannya sebagai pembawa obor perjuangan parti yang "setia berada di barisan paling hadapan membawa mesej parti kepada para pengundi".

Beliau juga mahu Pemuda dan Puteri UMNO kekal jadi pewaris perjuangan parti yang akan menentukan keyakinan rakyat kepada parti itu sebagai tempat bernaung.

Untuk itu, Muhyiddin mahu semua ahli ketiga-tiga pergerakan sayap kembali memahami idealisme dan matlamat perjuangan UMNO.

"Kita berjuang dalam UMNO bukan untuk UMNO tetapi untuk orang Melayu dan Bumiputera. Apabila kita diangkat menjadi pemimpin di dalam UMNO bukan bermakna kita hanya berkhidmat untuk orang UMNO tetapi berkhidmat untuk orang Melayu dan Bumiputera," katanya.

Muhyiddin juga mahu ahli-ahli Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO "lebih lantang, berani dan yakin" bagi memastikan kehadiran UMNO dirasai oleh masyarakat.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberi ingatan supaya UMNO tidak lalai dan leka dengan kejayaan dalam PRU-13 yang lalu kerana "kemenangan UMNO dan Barisan Nasional adalah kemenangan bersyarat".

Ini kerana biarpun UMNO berjaya menambah bilangan kerusi di Parlimen tetapi sokongan ke atas BN daripada kalangan pengundi muda dan pengundi bandar merosot.

"UMNO perlu memahami mesej jelas yang cuba dihantar oleh pengundi," katanya.

Jelas beliau, UMNO perlu jujur dan ikhlas bermuhasabah untuk mengetahui kenapa sokongan daripada dua golongan itu tidak seperti yang diharapkan.

Dalam PRU-13 yang lalu, UMNO menambah kerusinya di Parlimen daripada 79 kepada 88 kerusi menjadikannya parti dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

BN juga memenangi semula negeri Kedah dan kekal di negeri-negeri lain tetapi gagal memenangi Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan dan hilang beberapa kerusi di kubu kuatnya di Johor dan Melaka. -Astro Awani

Comments

Popular Posts