#PAU2013: PUTERI SABAH MAHU KESELAMATAN RAKYAT DAN NEGARA JADI KEUTAMAAN
KUALA LUMPUR, 4 Dis – Pergerakan Puteri UMNO Sabah berterima kasih terhadap kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di atas inisiatif penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau ESSCOM bagi meningkatkan kawalan keselamatan di perairan Pantai Timur Sabah.
Ketuanya, Normalah Rasik berkata Puteri UMNO Sabah ingin mengusulkan pada persidangan ini, supaya pusat pentadbiran utama Esscom di Lahad Datu dipindahkan ke Sandakan atas beberapa sebab yang dirasakan lebih munasabah serta memenuhi tujuan penubuhan badan tersebut di Sabah.
"Manakala pentadbiran Esscom di Lahad Datu tetap dikekalkan sebagai pengkalan cawangan bagi mengekang masalah pencerobohan dan menangani masalah keselamatan seperti yang berlaku baru baru ini.
"Atas beberapa sebab yang Puteri UMNO Sabah rasakan lebih munasabah serta memenuhi tujuan penubuhan badan tersebut di Sabah. Puteri UMNO Sabah berpendapat bahawa, pentadbiran Esscom wajar ditempatkan di Sandakan kerana bandar Sandakan, dilihat lebih lengkap daripada aspek logistik baik dari aspek kemudahan pengangkutan udara mahupun laut.
"Selain itu bandar Sandakan juga mempunyai lebih banyak prasarana sokongan yang pastinya mampu melancarkan lagi operasi pentadbiran agensi tersebut," ujarnya ketika membahaskan usul politik di Persidangan Pergerakan Puteri UMNO di sini, hari ini.
Tambahnya, dengan adanya sebuah pusat pentadbiran yang baik, operasi Esscom akan menjadi lebih efisien terutama dalam usaha kerajaan mengekang sebarang ancaman dari dalam dan luar yang cuba mengganggu gugat keamanan negara.
"Puteri UMNO Sabah juga mencadangkan kepada pusat-pusat peranginan swasta di kawasan perairan supaya menyediakan pondok-pondok keselamatan," ujarnya yang juga Ketua Puteri UMNO bahagian Kudat.
Dalam masa yang sama, kes pembunuhan seorang pegawai bank oleh pengawal keselamatan yang menggunakan MyKad palsu kononnya dari Sabah baru-baru ini sedikit sebanyak merosakkan nama baik Sabah sedangkan penjenayah terbabit kemudian dikenal pasti seorang warganegara Indonesia.
"Bertitik tolak dari situ, Puteri UMNO Sabah meminta agar Jabatan Pendaftaran Negara bersama-sama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan lain-lain yang berkaitan melakukan operasi besar-besaran bagi mengesan kegiatan pemalsuan MyKad ini yang dikenal pasti berpunca daripada kes-kes kehilangan MyKad oleh warga tempatan.
"Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak memandangkan warga asing ini bukan sahaja menyamar sebagai warganegara Malaysia, malah mereka diberi kepercayaan menjaga tempat-tempat yang sensitif seperti bank, pasar raya, gudang-gudang serta pelbagai logistik yang bernilai tinggi.
"Masalah ini melibatkan bukan sahaja melibatkan keselamatan nyawa kita tetapi juga keselamatan dan kedaulatan negara kita di mana kelemahan yang wujud cuba diambil kesempatan oleh para penjenayah.
"Kita bimbang jika kelonggaran tahap keselamatan kita berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang boleh menyebabkan pelbagai tragedi berlaku jika tidak diawasi dengan rapi", ujarnya.
Puteri UMNO Sabah juga tambah beliau lagi menggesa agensi yang berkaitan untuk mengambil perhatian serius mengenai tawaran pekerjaan seperti pengawal keselamatan, pembantu rumah, disaring terlebih dahulu status mereka sebelum diserapkan di mana-mana tempat untuk bekerja. -MediaUMNO
Comments
Post a Comment