APAKAH ADA KAJIAN DILAKUKAN SEBELUM TARIF ELEKTRIK DINAIKKAN? : REEZAL MERICAN

KUALA LUMPUR:  Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bertanya apakah ada kajian terperinci dibuat sebelum Tenaga Nasional Berhad mengumumkan kenaikan tarif elektrik yang dilihat akan menambah beban kepada rakyat.

Katanya, kenaikan tarif elektrik itu tidak hanya melibatkan bil elektrik di rumah sahaja sebaliknya akan memberikan kesan ke atas harga barang serta tambang pengangkutan awam.

"Jika ini berlaku, beban kumpulan berpendapatan sederhana akan terus bertambah," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu menarik perhatian kepada tiga komponen perbelanjaan tertinggi keluarga di negara ini iaitu makanan dan minuman, perumahan, air, elektrik, gas dan bahanapi serta pengangkutan yang merangkumi hampir 70 peratus daripada perbelanjaan isi rumah.

"Jika berlaku 'chain effect' dek kerana kenaikan tarif elektrik, kesannya pasti melebihi apa yang dijangkakan oleh TNB," katanya.

Reezal juga mencadangkan kepada TNB supaya menawarkan skim khusus kepada kumpulan berpendapatan sederhana bagi mengurangkan beban kesan daripada kenaikan tarif elektrik itu.

Beliau mengambil contoh amalan di Australia yang memberi sedikit diskaun kepada pengguna yang membayar bil elektrik bulanan mereka awal.

Jelas beliau, kaedah itu boleh dilakukan dengan mudah kerana pengguna hari ini menggunakan sistem e-perbankan untuk membayar bil mereka.

Reezal juga berharap TNB lebih bersungguh dalam memberi penjelasan mengenai kenaikan tarif elektrik itu bagi "menangani kemarahan rakyat yang semakin meningkat pada ketika ini."

"Hati rakyat semakin terluka apabila pengumuman keuntungan dibuat tanpa mengambil sensitiviti masyarakat awam yang semakin terhimpit kesan kenaikan kos," katanya.

Ini sehubungan pengumuman yang dibuat di Parlimen oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengenai subsidi elektrik dan gas yang akan disemak semula.

Menurut Ongkili lagi  kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Jan 2014.
Tarif elektrik semasa ialah 33.54 sen. - Astro Awani

Comments

Popular Posts