Followers

SKUAD SAYANG, MEDIUM PENYEBAR MAKLUMAT PARTI


KUALA LUMPUR:  Skuad Sayang Malaysia (Skuad Sayang) disaran tidak hanya tertumpu kepada aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan sebaliknya memperluas peranannya sebagai medium penyebar maklumat parti kepada rakyat.

Penaung Skuad Sayang yang juga isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata langkah itu secara tidak langsung membantu menepis fitnah serta tohmahan pembangkang terhadap pemimpin negara dan kerajaan.

"Ini kerana sikap berdiam diri dalam kalangan ahli-ahli UMNO akan hanya melemahkan parti.

"Jika kita terus mengambil sikap seperti itu, seolah-olah ia akan memberikan gambaran bahawa segala fitnah dan tohmahan itu benar," katanya ketika berucap dalam majlis Penghargaan Jalinan Sayang-Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO (Wanita) Malaysia 2013 di sini malam Isnin.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Pengerusi Tetap Wanita UMNO Tan Sri Napsiah Omar dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO merangkap Ketua Pesuruhjaya Skuad Sayang Kebangsaan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Pada majlis itu, Rosmah menyampaikan lencana khas kepada 408 pemimpin kanan Skuad Sayang di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Rosmah meluahkan rasa bangga kerana Skuad Sayang, yang dilancar pada 2009, mencapai matlamatnya sebagai pelengkap kepada usaha mendekati rakyat di peringkat akar umbi termasuk menjadi jambatan kepada agensi kerajaan dalam memberi bantuan sewajarnya.

"Walaupun dilakukan secara sukarela, Skuad Sayang tetap meneruskan khidmat bakti mereka di setiap ceruk dan pelusuk tanah air.

"Ini jelas menunjukkan keikhlasan Wanita UMNO membantu mereka yang memerlukan tanpa mengharap balasan sebaliknya atas usaha pemimpin dan ahli skuad semata-mata," katanya.

Beliau juga berkata aktiviti sukarela berbentuk kemasyarakatan seperti itu, jika dilakukan secara konsisten dan berlapang dada, akan mendapat tempat di hati rakyat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment