Followers

#PAU 2013: UMNO JADI PENYELAMAT MELAYU, PERISAI ISLAM : MUHYIDDIN


Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa UMNO, sebagai parti payung kaum Melayu dan bumiputera yang kini berusia lebih enam dekad, akan terus membela nasib mereka serta berjuang mempertahankan Islam tanpa mengetepikan hak dan kepentingan kaum lain.

Timbalan Perdana Menteri sekali gus menekankan bahawa UMNO tidak akan sekali-kali berkompromi dengan sebarang cubaan untuk mengancam akidah umat Islam di negara ini, ketika wujud cubaan tersusun untuk merungkai institusi dan asas-asas Islam di negara ini.


"Kerana itu UMNO sebagai benteng Islam mengambil pendirian tegas menolak sekeras-kerasnya segala tuntutan yang bertentangan dengan hukum Islam, " katanya ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam Selasa.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO, secara sinis turut menempelak golongan yang sering menuduh kononnya kerajaan tidak mengamalkan prinsip kesamarataan dalam soal agama yang menjadi perkara asas dalam sebuah masyarakat yang demokratik.


Ini termasuk tindakan Coalition of Malaysian NGOs (Comango) yang melobi negara-negara asing supaya mendesak Malaysia mematuhi prinsip hak asasi tanpa batas dalam laporan yang dikemukakan untuk diteliti dalam Proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland baru-baru ini.
"Kononnya atas nama globalisasi, hak asasi dan demokrasi, umat Islam dipaksa menerima konsep kebebasan individu tanpa batas, mengiktiraf perkahwinan sejenis, perkahwinan berlainan agama, hak untuk murtad, amalan ajaran sesat, gaya hidup gay dan lesbian serta pelbagai budaya songsang yang lain," kata Muhyiddin.


Beliau berkata desakan seumpama itu adalah contoh jelas kewujudan gerakan menyebarkan dakyah songsang atas nama kebebasan tanpa batas di negara ini.

"Saya nak tanya saudara-saudari yang ada di dalam dewan ini. Adakah kita rela pihak asing memaksa kita menerima konsep kebebasan yang bercanggah dengan agama kita? Adakah kita rela kebebasan tanpa batas yang sebegini rupa diamalkan di negara kita? Adakah kita mahu akidah umat Islam dipesongkan oleh mereka? Tentu sekali tidak," tegasnya.

Justeru, beliau menyarankan Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dijadikan dasar utama negara kerana percaya benteng akidah Islam akan lebih kukuh jika umat Islam mendapat pendidikan agama yang sempurna.

Dalam melaksanakan perkara itu, beliau mencadangkan kerajaan pusat dan majlis-majlis agama Islam negeri berbincang untuk menubuhkan pusat-pusat pengajian Islam di peringkat komuniti yang memberi peluang kepada masyarakat Islam mendalami ilmu agama dengan sempurna.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk terlibat menjayakan inisiatif itu dalam usaha memberi pencerahan kepada umat Islam mengenai ajaran Islam yang sebenar, sekali gus membentengi mereka daripada pelbagai dakyah songsang yang menjejaskan akidah.

Mengenai agenda memperkasa kaum Melayu dan Bumiputera, Muhyiddin menegaskan tugas besar itu akan terus didokong UMNO selagi parti itu mendapat sokongan rakyat sebagai bukti komitmen parti untuk terus membela orang Melayu dan Bumiputera.

"Perjuangan membela nasib Melayu dan Bumiputera masih belum selesai. Justeru, kepada mereka yang meragui ketegasan UMNO mempertahankan agenda Bumiputera, katakan kepada mereka UMNO bukan parti picisan yang mudah tenggelam dalam arus perubahan," katanya.

Muhyiddin menarik perhatian bahawa berkat perjuangan UMNO selama ini, taraf ekonomi orang Melayu dan Bumiputera telah berjaya ditingkatkan dan ini boleh dilihat melalui penurunan kadar kemiskinan Bumiputera daripada 64.8 peratus pada 1970 kepada 2.2 peratus pada 2012.

Katanya, insiden kemiskinan tegar Bumiputera juga telah menurun daripada 9.9 peratus pada 1970 kepada 0.3 peratus tahun lepas. Dalam tempoh sama, purata pendapatan kasar bulanan isi rumah Bumiputera telah meningkat daripada RM172 kepada RM4,457, manakala pemilikan ekuiti Bumiputera telah bertambah daripada 2.4 peratus kepada 23.5 peratus. - Media UMNO

No comments:

Post a Comment