#PAU2013 : PEMUDA CADANG TAKRIF ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI RUJUK PEGANGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH


KUALA LUMPUR, 4 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan pentakrifan Islam sebagai agama rasmi negara ini diperincikan dan dirujuk hanya kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, kata Naib Ketuanya Khairul Azwan Harun.

Beliau berkata cadangan itu penting bagi membendung penyebaran ajaran sesat antaranya Syiah yang mampu membinasakan negara terutamanya generasi muda yang mudah terpengaruh dengan ajaran seperti itu.
"Ini tidak boleh dipandang ringan kerana kumpulan ajaran sesat boleh mengancam keselamatan negara dan Pemuda menuntut tindakan tegas bagi menghapuskan kumpulan ini," katanya ketika berucap mencadangkan usul ucapan terima kasih atas ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Sehubungan itu Khairul Azwan berkata Pengerusi Biro Pendidikan Tinggi pergerakan itu Fathulbari Mat Jahya akan membawa usul khas berkenaan perkara itu pada perbahasan perhimpunan utama esok.

Beliau turut mencadangkan pergerakan itu terus membawa pendekatan progresif yang menjadikan pergerakan itu penyelesai kepada setiap masalah dihadapi rakyat selain menjadi kumpulan pendesak terhadap isu berkentingan tinggi kepada rakyat.

"Bukan sahaja pendesak, Pemuda juga perlu menjadi kumpulan membantu rakyat dan berjuang demi kesenangan rakyat, pendekatan progresif tidak membawa kita keluar daripada landasan perjuangan Islam dan tidak akan sama sekali menjadikan pemuda sebuah kumpulan pluralisme dan liberalisme," katanya.

Khairul Azwan berkata pergerakan itu turut mencadangkan agar kerajaan melantik seorang menteri khusus bagi memastikan program pemerkasaan ekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan secara berkesan.
"Kita mahu seorang menteri yang punyai kesungguhan, pengetahuan dan kemelayuan yang tinggi bagi memastikan agenda itu mampu dinikmati setiap Bumiputera di negara ini, selain itu perlu ada penunjuk prestasi utama dalam memperkasa ekonomi Bumiputera dan laporan auditnya mesti dibentang kepada seluruh anggota UMNO serta rakyat amnya," katanya.

Beliau turut menegaskan masa untuk anggota UMNO dibuai dengan kekuatan politik diraih selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 telah tamat dan kini masa untuk setiap pemimpin muda dalam Umno bekerja keras membantu serta mengukuh kepercayaan rakyat.

"Lebih ramai pemimpin muda berkualiti dan berkaliber perlu dilahirkan daripada Pemuda untuk berjuang demi rakyat, manakala latihan peringkat akar umbi terutamanya kepada anggota baharu perlu dipergiat bagi melahirkan generasi baharu UMNO yang mampu berkhidmat untuk rakyat," katanya. - Media UMNO

Comments

Popular Posts