#PAU2013 : SHAHRIZAT GARIS 3 TRANSFORMASI ANGKAT PERANAN WANITA UMNO


KUALA LUMPUR, 4 Dis –  Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebentar tadi menggariskan tiga transformasi untuk mengangkat peranan penting Wanita dalam UMNO dan kancah politik negara.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu berkata, Wanita tidak harus dilihat sebagai hanya layak dan mampu bercakap soal-soal wanita saja.

"Kita akur bahawa isu-isu seperti kedudukan wanita dalam membuat keputusan, soal cuti ibu bersalin, isu wanita di tempat kerja, penyediaan taska, sensitiviti gender dan seumpamanya adalah isu-isu penting yang mesti terus diperjuangkan oleh Wanita.

"Kita tidak akan berhenti memperjuangkan isu-isu ini. Namun, kita tidak boleh membataskan perbahasan perjuangan kita kepada isu-isu terbabit. Wanita UMNO mesti membuktikan bahawa kita mampu memimpin isu di luar kerangka terbabit.

"Usah jadikan perjuangan Wanita UMNO sebagai `women-centric'. Wanita UMNO mesti bercakap dan memperjuangkan soal perumahan, soal ekonomi dan keusahawanan, soal pendidikan, soal keselamatan, soal keadilan sosial, soal antarabangsa dan soal masa depan negara.

"Buktinya, kita mampu memimpin isu yang akan membawa kepada pembangunan rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Beliau berkata, transformasi kedua ialah Wanita UMNO mesti berjiwa besar dan mampu `differentiate between the trees and the forests.'

"Jangan kita terperangkap dalam melihat perjuangan Wanita UMNO sebagai sesuatu yang terbatas. Wanita UMNO mesti terus peringkatkan berbicara soal idea.

"Wanita UMNO harus berbahas soal masa depan dan harus berhujah mengenai perjuangan. Sekiranya pagi, petang, siang malam, kita bercakap mengenai orang lain, kita adalah manusia berjiwa kecil. Inilah transformasi yang harus kita lakukan," ujarnya.

Selain itu, transformasti ketiga ialah gerak kerja Wanita UMNO juga harus berubah.

"Sementara saya mengukuhkan lagi peranan Wanita UMNO, saya mahu Wanita UMNO turut sama memimpin transformasi," katanya. - Media UMNO

Comments

Popular Posts