#PAU2013: MUHYIDDIN BERI JAMINAN UMNO AKAN BELA NASIB MELAYU DAN BUMIPUTERA

KUALA LUMPUR:  Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kepada orang Melayu dan kaum Bumiputera yang lain bahawa parti itu akan terus membela nasib mereka.

Jaminan itu dibuat bagi menjawab persoalan yang bermain dalam fikiran mereka mengenai halatuju UMNO selepas pilihan raya umum ke-13 terutama yang melibatkan usaha untuk meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu dan Bumpiputera.

"UMNO tidak akan mengabaikan kepentingan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera. UMNO akan terus mendukung tugas besar ini selagi UMNO wujud dan mendapat sokongan rakyat.

"Kesemua ini adalah bukti komitmen UMNO untuk terus membela orang Melayu dan Bumiputera," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Katanya, sebagai parti terbesar orang Melayu, UMNO akan terus menggalas agenda memperkasa bangsa Melayu dan Bumiputera tanpa rasa takut atau gentar.

Beliau menegaskan, UMNO bukan parti jumud yang kekal di takuk lama sebaliknya sentiasa mengharungi arus perubahan sambil menggalas agenda perjuangan.

Muhyiddin berkata, sejarah telah membuktikan bahawa peningkatan taraf ekonomi orang Melayu dan kaum Bumiputera berjaya dibuat berkat perjuangan UMNO.

"Kadar kemiskinan Bumiputera menurun daripada 64.8% pada tahun 1970 kepada 2.2% pada tahun 2012. Insiden kemiskinan tegar Bumiputera juga telah menurun daripada 9.9% pada tahun 1970 kepada 0.3% pada tahun 2012.

"Dalam tempoh yang sama, purata pendapatan kasar bulanan isirumah Bumiputera telah meningkat daripada RM172 kepada RM4,457, dan pemilikan ekuiti Bumiputera telah bertambah daripada 2.4% kepada 23.5%," katanya.

Jelas beliau, perjuangan UMNO bagi meningkatkan penyertaan orang Melayu dan kaum Bumiputera dalam bidang ekonomi diperhebatkan lagi dengan pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Beliau turut menggesa agar semua sayap pergerakan UMNO membantu pelaksanaan tujuh inisiatif utama yang digariskan dalam agenda berkenaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan UMNO akan terus berganding bahu dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu dan Islam untuk mempelopori usaha penyatuan ummah dalam ertikata yang sebenar.

"Pintu UMNO sentiasa terbuka luas untuk menyahut seruan perpaduan dan kerjasama dengan semua pertubuhan Melayu dan Islam.

"Inilah yang menjadi harapan umat Melayu dan Islam di negara kita. Mereka mahu melihat perpaduan ummah yang lebih jitu terbina kerana dengan perpaduanlah kepentingan umat Islam akan sentiasa dapat dibela," katanya lagi.

Katanya, UMNO sebagai parti yang memperjuangkan Islam tidak sepatutnya mempunyai mempunyai tembok pemisah dengan pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain.

Sebaliknya, jelas beliau Kerjasama dan membina perpaduan yang lebih jitu berasaskan semangat persaudaraan di dalam Islam perlu dilaksanakan demi memastikan kepentingan Islam sentiasa terbela.

"Saya yakin, jika ditanya setiap seorang yang ada di dalam dewan ini pada malam ini, pastinya kita semua bersetuju bahawa tiada yang paling utama bagi kita umat Islam yang berpegang dengan ajaran ahli sunnah wal jamaah melainkan perpaduan di atas jalan Allah yang lurus," katanya.

Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan meneruskan persidangannya serentak pada Rabu. - Astro Awani

Comments

Popular Posts